|
|
KUALA LUMPUR – Pemain nombor satu wanita negara dan dunia, Nicol Ann David muncul juara Qatar Klasik selepas menewaskan pemain Amerika Syarikat (AS), Natalie Grainger pada perlawanan akhir di Kompleks Skuasy Khalifa di Doha, semalam.
Kemenangan menerusi permainan terus 9-6, 9-4, 10-9 dalam masa 43 minit itu meletakkan Nicol kembali berada di landasan kebangkitan semula.
Selepas mempamerkan kemerosotan mendadak dalam dua kejohanan utama sebelum ini iaitu Terbuka Britain dan Terbuka Dunia, pemain kelahiran Pulau Pinang ini menebusnya dengan persembahan cukup berbeza dan bertenaga.
Kini apa yang perlu dilakukan Nicol adalah mengekalkan prestasinya untuk menguasai pentas saingan yang lebih mencabar selepas ini.
Paling manis di Qatar Klasik ini ialah kejayaannya menewaskan seteru utama yang juga pemain nombor dua dunia dari Australia, Rachael Grinham di separuh akhir.
Ia bukan sekadar kemenangan biasa sebaliknya turut menebus kekalahan Nicol di tangan Rachael pada perlawanan akhir Terbuka Britain, dua minggu lalu.
Selain itu, kejayaan semalam juga memberi tanda akan kebangkitan Nicol untuk memulihkan imejnya selepas tewas di tangan pemain New Zealand, Shelly Kitchen di pusingan kedua Terbuka Dunia di Madrid, Sepanyol, minggu lalu.
Sementara itu, dalam acara perseorangan lelaki, Amr Shabana dari Mesir menepati statusnya sebagai pemain nombor satu dunia dengan muncul juara.
Amr menewaskan pemain Perancis, Gregory Gaultier 11-4, 8-11, 11-6, 11-5 dalam masa 52 minit pada perlawanan akhir itu.
0 comments:
Post a Comment