Ibu bapa empat kanak-kanak dicari


NADHIRAH (dari kiri), Muhamad Asri, Nur Faihaa dan Nurul Jannah (gambar kecil). – Gambar Mahathir Ali.

KUALA TERENGGANU 3 Nov. – Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Terengganu merayu ibu atau bapa empat orang kanak-kanak agar tampil bagi membolehkan urusan berkaitan pendaftaran anak angkat dapat dilakukan.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah, Zakaria Abu Bakar berkata, ini penting kerana syarat utama untuk proses pendaftaran dibuat ialah ibu bapa itu sendiri menandatangani surat keizinan penyerahan sebagai anak angkat.

Katanya, sekiranya mereka gagal hadir dalam tempoh empat belas hari mulai sekarang pihak jabatan akan mengambil tindakan susulan termasuk mengambil perintah mahkamah bagi membolehkan urusan pendaftaran dilakukan.

‘‘Kami berharap ibu atau bapa anak ini bekerjasama dengan kami bagi memastikan nasib dan masa depan mereka terus pendapat pembelaan,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Zakaria berkata, salah seorang mereka dikenali Nadhirah, 11, dilahirkan di Johor oleh ibu yang dikenali Nasron (bukan warganegara) dipercayai berasal dari Indonesia.

Katanya, Nadhirah sekarang berada dalam jagaan sebuah keluarga di Kuala Terengganu, manakala alamat terakhir ibunya ialah Kampung Sejagung Sri Medan, Batu Pahat, Johor.

Sementara itu Nurul Jannah yang kini berusia setahun lima bulan dijumpai bersama sekeping nota yang ditinggalkan oleh suami isteri di Kuala Bekah, Kuala Terengganu pada 15 Jun tahun lepas.

Dua lagi Muhamad Asri, 6, dan Nur Faihaa, 9, pula dilahirkan di negeri Selangor.

Ibu atau bapa anak terbabit boleh datang ke pejabat kebajikan Masyarakat daerah Kuala Terengganu, tingkat bawah, Wisma Negeri, Jalan Pejabat, Kuala Terengganu pada bila bila masa waktu pejabat atau menghubungi beliau menerusi telefon nombor 09- 6274267 atau 09-6274268.

0 comments: