Oleh Harris Rajahdin
MISI menebus maruah Nicol David tercapai di Klasik Qatar semalam dengan kejayaannya menundukkan Natalie Grainger di final, petanda baik buat dirinya selepas kegagalan di dua kejohanan sebelum ini iaitu di Terbuka Dunia dan British.
Juara bertahan itu mengekalkan gelarannya itu dengan kemenangan 9-6, 9-4, 10-9 selepas 43 minit di Pusat Skuasy Khalifa, Doha - gelanggang kejayaan emas Sukan Asia – ke atas pilihan kelima kelahiran Manchester yang menukar kerakyatan kepada Amerika Syarikat.
Terdahulu pada separuh akhir, Nicol berjaya membalas dendam atas kekalahannya kepada musuh tradisi, Rachael Grinham dalam final Terbuka British selepas bangkit garang menewaskan lawan dari Australia.
Natalie juga, tidak kurang hebatnya apabila mengejutkan adik Rachael, yang juga berkongsi nama sama Natalie pada separuh akhir. Natalie mengambil masa satu jam untuk menewaskan pilihan kedua itu, 1-9, 0-9, 9-6, 9-4, 9-1.
Gelaran yang menawarkan jumlah hadiah wang tunai AS$77,000 (RM282,590) adalah yang ketujuh daripada 10 kejohanan pada 2007.
Kemenangan ini juga mengubati kekecewaannya mengekalkan dua mahkota Grand Slam sebelum ini - Terbuka Dunia yang menyaksikan penyingkirannya seawal pusingan kedua kepada Shelley Kitchen bulan lalu dan Terbuka British di Manchester sebelum itu.
Sementara itu, pemain kedua negara, Sharon Wee meraih gelaran pertama dalam siri satelit tempatan, menewaskan Chinatsu Matsui dari Jepun pada final jelajah Majlis Sukan Negara 10 nombor dua di Pusat Skuasy Jalan Duta, semalam.
Pilihan pertama itu hanya mengambil masa 35 minit untuk menewaskan pilihan kelapan yang menjadi warga Jepun pertama mara ke final skuasy profesional, 9-4, 9-3, 9-4.
0 comments:
Post a Comment