KAHERAH 3 Nov. – Pemimpin nombor dua Al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri mengecam pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dengan menuduhnya sebagai “musuh Islam” kerana berbaik-baik dengan Amerika Syarikat (AS).
Ayman dalam satu rakaman suara turut mengancam untuk melancarkan gelombang serangan ke atas negara di Afrika Utara itu kerana memperbaiki hubungan tersebut.
Dalam rakaman audio 28 minit berjudul “Penyatuan Barisan” itu, Ayman turut mengumumkan bahawa Kumpulan Pejuang Islam Libya iaitu sebuah pertubuhan militan di Libya, telah menjadi sekutu Al-Qaeda.
“Umat Islam menyaksikan langkah yang direstui. Saudara-saudara kita memperhebatkan konfrontasi menentang musuh Islam iaitu Muammar dan Washington yang menjadi tuannya,” kata Ayman dalam rakaman tersebut.
Rakaman itu turut menyiarkan mesej daripada Abu Laith al-Libi, warga Libya yang menjadi komander Al-Qaeda di Afghanistan ketika ini.
“Muammar ialah orang yang menzalimi Libya dan mengheret negara itu ke dalam lumpur.
“Setelah sekian lama, dia (Muammar) tiba-tiba mendapati Amerika bukan lagi musuh dan kini menukar Libya menjadi sebuah lagi pangkalan tentera Salib,” kata Abu Laith.
– AP
0 comments:
Post a Comment