KUALA LUMPUR 3 Nov. – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan menemui Siti Nadzirah Mohd. Nasir yang sedang berusaha mendapatkan semula hak penjagaan ke atas anaknya untuk mendengar masalah yang dihadapi ibu muda itu.
Menurutnya, beliau memandang serius masalah yang sedang dihadapi oleh wanita itu dan mahu menemui Siti Nadzirah sebelum menentukan bentuk bantuan yang boleh diberikan kepadanya.
Siti Nadzirah, jelas beliau, perlu mendapat pembelaan yang sewajarnya supaya dia mendapat haknya.
‘‘Saya akan berjumpa dengan Siti Nadzirah selepas Perhimpunan Agung UMNO.
‘‘Kes yang dihadapi Siti Nadzirah menarik perhatian saya,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis taklimat NADI di sini hari ini.
Semalam, ibu muda itu menyatakan hasratnya untuk menemui Shahrizat ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas pulang dari Pakistan.
Siti Nadzirah, 20, sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah di Pakistan berkaitan hak penjagaan bayinya, Arman Khan, 11 bulan, hasil perkahwinannya dengan seorang rakyat Pakistan, Fazal Azim Abdul Aziz, 24.
Konflik yang berlaku itu bermula apabila pada 14 Julai lalu, Siti Nadzirah mengambil keputusan pulang ke Malaysia kerana tidak tahan dengan layanan keluarga mertuanya yang hanya memberinya susu kerbau basi dan capati sebagai makanan harian sejak dia dibawa ke negara itu oleh suaminya.
0 comments:
Post a Comment