Tiada universiti terbilang, cabaran kepada IPTA

PEKAN 3 Nov. – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melihat Kajian Reputasi Akademik dan Hasil Penarafan IPTA (Ares 2006) yang merumuskan tidak ada satu pun IPTA mencapai taraf dunia sebagai cabaran untuk memajukan diri.

Timbalan Perdana Menteri berkata, IPTA tidak perlu bersikap defensive dengan menafikan hasil kajian tersebut memandangkan ia telah dilakukan dengan telus.

“Saya melihat ini sebagai satu cabaran kepada IPTA, maknanya setiap universiti itu mesti mengambil iktibar daripada apa yang telah dinilai terhadap mereka dan tidak bersikap terlalu defensive.

“Dalam erti kata lain, jangan kita menafikan dan mempertikaikan penilaian tersebut, apa yang boleh mendatangkan kesan positif ialah untuk melihat ini sebagai satu cabaran,’’ katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan beg perjalanan pada Majlis Meraikan Bakal-Bakal Haji Parlimen Pekan di sini hari ini.

Keputusan Ares diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed semalam menyaksikan Universiti Sains Malaysia (USM) diisytiharkan sebagai universiti terbaik keseluruhan daripada 17 IPTA tempatan.

Mengulas lanjut, Najib berkata, jika ada IPTA yang merasa mereka tidak mendapat penarafan yang diharapkan, maka IPTA itu perlu mengetahui aspek-aspek yang menjadi kelemahan dan berusaha memperbaikinya pada tahun-tahun akan datang.

Ditanya apakah hasil itu penting kerana ia hanya melibatkan persepsi dan bukannya rumusan sebenar, Najib berkata, ia perlu dilihat secara serius.

“Dalam hidup, persepsi adakalanya lebih penting daripada realiti,” katanya.

0 comments: