Chong Wei akhiri buntu raih Terbuka Perancis



BERDIRI MEGAH: Chong Wei menunjukkan hadiah juara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Perancis yang dimenanginya selepas menewaskan pemain China, Chunlai 21-11, 21-14 di Stadium Pierre de Coubertin, Paris, malam tadi.

GAPAIAN gelaran Siri Super buat kali ketiga menjadi milik pemain utama negara, Lee Chong Wei yang mengungguli final perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Stadium Pierre de Coubertin, Paris, malam tadi.

Chong Wei, pilihan kedua kejohanan, hanya memerlukan 35 minit untuk mengetepikan tentangan pemain China, Bao Chunlai dengan kemenangan 21-11, 21-14.

Berita gembira untuk peminat di tanah air juga terhasil di Auckland, New Zealand, apabila pasangan Lim Khim Wah-Ng Hui Lin memenangi gelaran beregu campuran selepas pertentangan sengit pada final Kejohanan Remaja Dunia.


Namun kemarau gelaran Siri Super berterusan untuk beregu veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang hampa kecundang di tangan pasangan nombor dua dunia, Fu Haifeng-Cai Yun.

Buat Chong Wei, kemenangan ketiga dalam sirkit utama badminton dunia itu hadir selepas berjaya menggapai gelaran pada Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun.

Selepas mudah memenangi set pertama 21-11, dengan dominasi ketara ke atas Chunlai dalam tempoh 15 minit, Chong Wei bagaimanapun berdepan detik sukar sepanjang set kedua apabila kerap kali lawan bangkit mengejar mata sebelum akhirnya menutup saingan dengan kemenangan selepas 20 minit.


Tan Fook-Wan Wah, pilihan kelima kejohanan, gagal menyekat aksi garang Haifeng-Cai Yun yang muncul juara dengan kemenangan 21-14, 21-19 dalam tempoh 38 minit.

Ia adalah gelaran Siri Super keempat buat beregu China itu - menyamai jumlah gelaran milik gandingan utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong - selepas selesai 10 saingan Siri Super setakat ini.

Di Auckland, kekentalan semangat Khim Wah-Hui Lin pula nyata tidak luntur di sebalik tentangan sengit diberi beregu England, Chris Addock-Samantha White untuk muncul pemenang dengan keputusan 23-25, 22-20, 21-19.

"Ini adalah gelaran dunia pertama dan saya amat gembira dengan kejayaan kami. Kami hampir kecundang tetapi bertegas untuk terus berjuang. Saya amat lega kerana kesungguhan kami itu membuahkan hasil.

"Saya dan Hui Lin ingin berterima kasih kepada jurulatih kami (Jeremy Gan) dan jurulatih lain yang mendidik kami hingga berjaya mencapai kejayaan ini," kata Khim Wah.

Jurulatih beregu, Jeremy Gan lega dengan pencapaian ini untuk setidak-tidaknya membawa pulang satu gelaran daripada kejohanan kali ini.

"Apabila kami ketinggalan 19-20 pada perlawanan kedua saya mengarahkan pemain untuk memberi fokus. Itu sahaja.

"Secara keseluruhan pasangan kita tidak beraksi dengan baik tapi apa yang penting dalam perlawanan seperti ini adalah kekuatan mental," katanya.

0 comments: