SMS, mesin pengimbas tentukan nasib Raja Munirah

Oleh RAHIM LAJIS

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Raja Munirah Raja Iskandar, 22, yang kini dipenjara di Jepun, berharap akan dibebaskan daripada tuduhan menyeludup dadah berdasarkan dua bukti yang bakal dikemukakan dalam rayuan kesnya pada 15 November ini.

Bukti pertama membabitkan khidmat pesanan ringkas (SMS) antara dia dengan Milad, pemuda Iran yang memperdayakannya untuk ke Tokyo seorang diri bagi ditemuduga untuk satu jawatan bergaji lumayan.

Bukti kedua ialah tindakan Raja Munirah secara sukarela meminta pegawai kastam Jepun supaya memeriksa begnya secara lebih terperinci dengan menggunakan mesin pengimbas.

‘‘Saya tidak bersalah. Lihatlah SMS dalam telefon bimbit saya. Saya dianiaya,’’ kata pelajar sebuah kolej swasta itu kepada Mingguan Malaysia dalam pertemuan di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo, baru-baru ini.

Dalam paparan SMS yang diterima pukul 9.49 malam 19 Disember 2006 iaitu sehari sebelum berlepas ke Tokyo, Raja Munirah menulis (dalam bahasa Inggeris) kepada Milad:

‘‘Milad, saya fikir lebih baik awak beri beg itu malam ini. Saya tidak mahu tergesa-gesa pagi esok untuk berkemas. Beri saja beg itu kepada saya.’’

Menurut Raja Munirah, beg besar bagi mengisi pakaian musim sejuk untuk ke Jepun itu dibelikan dan disimpan oleh Milad sebelum berlepas.

Milad membalas SMS (dalam bahasa Inggeris) Raja Munirah itu dengan menulis:

‘‘Saya fikir sudah lewat jika saya pergi ke Cyberjaya. Jadi, awak janganlah risau. Saya akan kejutkan awak pukul 8 pagi dan datang bantu awak berkemas. Ok?’’

Pagi esoknya, 20 Disember 2006, Milad datang ke asrama Raja Munirah di Cyberjaya dengan membawa beg untuk mengisi pakaian peragawati sambilan itu.

Raja Munirah mahu teman lelakinya turut menghantarnya ke Lapangan Terbang Antrabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang tetapi Milad melarang.

Setibanya di Lapangan Terbang Narita, Tokyo, seperti penumpang-penumpang lain yang bukan rakyat Jepun, Raja Munirah melalui pemeriksaan imigresen dan mengambil beg di ruang bagasi dan menuju ke kaunter kastam.

Raja Munirah membuka beg untuk diperiksa oleh pegawai kastam Jepun.

Oleh kerana berasa pelik melihat beberapa pegawai kastam Jepun memeriksa begnya berulang kali, Raja Munirah mengesyorkan supaya mereka menggunakan mesin pengimbas pula agar mereka berpuas hati.

Sebaik sahaja beg itu diimbas, kelihatan imej benda tersorok di ruang antara lapisan dinding dalam dan kulit beg. Apabila dibuka ruang itu, benda tersembunyi itu adalah sejenis dadah.

‘‘Ya Allah! Apa ni? Saya sangat terkejut. Saya cuba telefon Milad tetapi gagal kerana telefon saya tiada perkhidmatan perayauan di luar negara,’’ jelas Raja Munirah.

Dia kemudian ditahan atas tuduhan memiliki 690.80 gram syabu dan dibicarakan pada 16 April dan 7 Mei tahun lalu - cuma dua hari sahaja.

Menceritakan perkenalannya dengan Milad, Raja Munirah berkata, rakan sekolejnya yang memperkenalkannya dengan Milad yang juga menuntut di sebuah universiti swasta di Cyberjaya.

Beberapa bulan kemudian, Milad menawarkan kerja sebagai pegawai perhubungan awam (PRO) di syarikatnya yang kononnya berpangkalan di Jepun dengan gaji kira-kira RM9,000 (AS $2,500) sebulan.

Raja Munirah dikehendaki ke Tokyo untuk menghadiri temuduga terlebih dahulu dan tidak boleh ditemani oleh sesiapa termasuk Milad.

Peguam yang disediakan oleh kerajaan Jepun menasihatkan Raja Munirah mengaku salah untuk mendapat hukuman ringan iaitu penjara enam bulan sahaja.

Bagaimanapun, apabila mahkamah bersidang pada 18 Jun tahun lalu untuk menjatuhkan hukuman, dia dihukum penjara tujuh tahun empat bulan.

Keluarganya kini melantik seorang peguam, Rosal Azimin Ahmad untuk menguruskan kes Raja Munirah bersama beberapa peguam tempatan di Jepun termasuk seorang bekas hakim.

‘‘Dengan bukti baru SMS dan tindakan Raja Munirah mengesyorkan begnya diperiksa lagi menggunakan mesin pengimbas, kami yakin dapat membebaskan Raja Munirah,’’ kata Rosal Azimin ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut beliau, bukti-bukti itu tidak dikemukakan oleh peguam yang disediakan oleh kerajaan Jepun ketika perbicaraan. Peguam Jepun itu juga tidak mengemukakan rayuan bagi sabitan kesalahan.

‘‘Kami yakin boleh mendapatkan keadilan bagi Raja Munirah. Kami berharap mendapat perintah mahkamah supaya diadakan perbicaraan semula.

‘‘Sistem kehakiman di Jepun sangat berbeza. Perbicaraan dijalankan hanya berdasarkan kenyataan pendakwa raya dengan kenyataan peguam bela sahaja. Tiada soal balas terhadap tertuduh dan tiada saksi dipanggil,’’ kata Rosal Azimin.

Milad, lelaki Iran yang memperdayakan Raja Munirah pergi ke Tokyo seorang diri dengan menggunakan beg yang dia belikan, kini masih bebas dan dipercayai berada di Indonesia.

0 comments: