Kaedah BPR mampu sekat penyelewengan

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak yakin kaedah pemantauan Badan Pencegah Rasuah (BPR) terhadap jabatan, agensi dan syarikat milik kerajaan mampu menyekat kepincangan dan penyelewengan, sekali gus memberi kesan besar kepada keuntungan dan pendapatan mereka.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemantauan sedemikian perlu diteruskan supaya sebarang penyelewengan dalam agensi, jabatan dan GLC dapat ditangani secara cekap dan berkesan.

Berikutan itu juga, beliau berkata, kerajaan sedia mempertimbangkan dengan teliti sebarang cadangan bagi menambah jumlah pegawai BPR yang ditempatkan di agensi, jabatan dan GLC.

"Bagi kerajaan, kita sedia pertimbangkan dengan teliti syarat penempatan itu seharusnya menambah hasil daripada kos yang terpaksa kita keluarkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 185 bakal haji dalam kawasan Parlimen Pekan di kediamannya, di sini, semalam.

Najib mengulas langkah pemantauan pegawai BPR yang ditempatkan di beberapa jabatan dan agensi kerajaan bagi membolehkan agensi berkaitan meraih keuntungan berlipat ganda.

Timbalan Pengarah BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed dipetik sebagai berkata, ada agensi kerajaan berjaya meraih keuntungan dalam tempoh singkat tidak lama selepas BPR menempatkan pegawai mengawasi agensi itu.

Beliau memberi contoh pemantauan dua tahun di Amanah Raya Berhad (ARB) membolehkan agensi terbabit meraih keuntungan daripada RM3 juta pada 2004 kepada RM19 juta pada 2005 dan RM40 juta pada 2006.

"Berikutan kejayaan itu pegawai BPR juga diletakkan di Tenaga Nasional Berhad (TNB) berikutan banyak kes kehilangan kabel TNB dilaporkan. Sejak pegawai BPR diletakkan di TNB lapan pegawai syarikat itu ditahan atas kesalahan rasuah," katanya.

Abu Kassim berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Peranan BPR Dalam Mempromosi Bebas Rasuah di Sektor Swasta pada Seminar Perkongsian Awam-Swasta Dalam Membanteras Rasuah dan Memelihara Integriti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kelmarin.

Najib berkata, penempatan pegawai BPR itu bukan di semua jabatan, agensi atau GLC kerana ia lebih bertumpu kepada agensi yang berurusan dengan orang ramai terutama di kaunter perkhidmatan dan bayaran.

"Jadi penempatan pegawai BPR ini boleh dipertimbangkan secara teliti jika ia mampu membawa kesan positif dan baik dalam memberi keuntungan berganda kepada kerajaan," katanya.

Ditanya mengenai hasil kajian tanggapan terhadap kedudukan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mendukacitakan, Najib berkata, beliau mahu universiti awam melihat ia sebagai cabaran untuk meningkatkan mutu.

"Saya melihat ini sebagai cabaran kepada semua IPTA apabila ada sistem seperti ini yang dilakukan secara objektif," katanya.

0 comments: