Ibrahim Gambari teruskan misi di Myanmar

YANGON 3 Nov. – Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ibrahim Gambari tiba di Myanmar hari ini untuk memulakan usaha kedua beliau bagi mendamaikan junta tentera dengan penentang yang menuntut demokrasi.

Bagaimanapun, dalam lawatannya kali ini, Ibrahim juga perlu memujuk junta supaya membatalkan rancangannya untuk mengusir diplomat tertinggi PBB di negara ini.

Ibrahim terbang terus ke ibu negara baru, Naypyidaw untuk menemui para pemimpin kanan junta, kata sumber kerajaan Myanmar.

Menjelang ketibaan Ibrahim, junta menuduh Penyelaras Tetap PBB di Myanmar, Charles Petrie melampaui bidang tugasnya dengan mengkritik rejim itu kerana gagal memenuhi keperluan ekonomi dan kemanusiaan negara ini.

Menurut Petrie, kegagalan itu menjadi punca meletusnya protes prodemokrasi besar-besaran pada September lalu yang ditamatkan secara kekerasan oleh kerajaan.

– AP

0 comments: