ISLAMABAD 3 Nov. – Presiden Pervez Musharraf hari ini mengisytiharkan darurat di Pakistan beberapa hari sebelum keputusan oleh Mahkamah Agung diumumkan sama ada beliau dibenarkan bertanding dalam pilihan raya akan datang.
Pengisytiharan mengejutkan ini dikatakan berpunca dari gangguan berterusan oleh sistem kehakiman Pakistan serta ancaman yang semakin berleluasa oleh pihak militan Islam, menurut satu laporan yang dikeluarkan hari ini.
“Terdapat beberapa anggota kehakiman yang mengganggu tugas kerajaan dan perundangan dalam menentang keganasan dan ini telah melemahkan kerajaan serta mengakibatkan penguatkuasaan kurang berkesan,” menurut laporan itu lagi.
Dalam pada itu berpuluh-puluh anggota polis ditempatkan di luar bangunan Mahkamah Agung.
Bagaimanapun Ketua Hakim Mahkamah Agung, Iftikhar Chaudhry dan lapan hakim Mahkamah Agung yang disyaki masih berada di dalam bangunan mahkamah tersebut menolak pengisytiharan darurat yang diumumkan oleh Pervez.
Keputusan Mahkamah Agung yang dijangka diumumkan pada 6 Oktober ini dilihat bakal menentukan masa depan politik Pervez di Pakistan.
Pengisytiharan ini turut mengakibatkan pilihan raya terpaksa ditunda walaupun sebelum ini ia dijangka diadakan pada Januari depan.
Tindakan pengisytiharan ini dipercayai diambil setelah timbul spekulasi sebelum ini tentang kemungkinan beliau akan mengisytiharkan darurat setelah berhadapan dengan keadaan politik yang semakin huru-hara serta ancaman berleluasa dari pihak militan Islam.
Dalam pada itu bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto yang dikatakan tidak dibenarkan kembali ke Pakistan setelah Pervez mengisytiharkan darurat, selamat tiba di lapangan Terbang Antarabangsa Karachi dari Dubai malam ini.
“Beliau telah tiba di Karachi malam ini, namun beliau masih belum pasti sama ada akan dipenjarakan, dibenarkan masuk atau diusir keluar,” kata jurucakap Benazir, Wajid Hasan.
Beliau meninggalkan Dubai sebaik mengetahui tentang pengisytiharan darurat oleh Pervez semalam, kata Wajid lagi.
Sementara itu, penyiaran stesen televisyen swasta di beberapa bandar utama didapati terputus manakala perkhidmatan telefon di ibu negara turut dipotong sejurus pengisytiharan darurat diumumkan oleh Presiden.
“Siaran televisyen kami terputus dan ia dilihat akibat dari pengisytiharan darurat oleh Pervez,” kata seorang pengarah televisyen Dawn yang beroperasi dalam bahasa Inggeris, Azhar Abbas.
– Agensi
0 comments:
Post a Comment