Tubuh unit pemantau pencapaian bumiputera

Tubuh unit pemantau pencapaian bumiputera

Penulis difahamkan beberapa garis panduan baru yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan memberi anjakan positif kepada daya saing negara lantas membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih baik dan cepat.

Pengumuman tentang kenaikan had pegangan saham asing di dalam syarikat broker saham yang akan dinaikkan daripada 49 peratus kepada 70 peratus jelas menampakkan keberanian kerajaan untuk bersaing dalam perebutan pasaran modal dunia.

Pegangan saham asing di dalam syarikat pengurusan unit amanah akan dinaikkan sama seperti kenaikan pada syarikat broker saham.

Secara logiknya, langkah-langkah ini sepatutnya mengembangkan lagi peluang pelaburan di negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta mengukuhkan keupayaan modal insan.

Pada pandangan saya, langkah membuka ruang ekonomi negara menjadi lebih berdaya saing bermakna syarikat-syarikat tempatan harus bersedia meningkatkan keupayaan daya saing mereka agar tidak terpinggir di dalam gelanggang sendiri.

Ini harus diberi perhatian serius terutama oleh syarikat kaum bumiputera kerana syarikat bukan bumiputera mungkin mempunyai keupayaan yang lebih tinggi untuk tetap berdaya saing.

Agensi-agensi yang diberi mandat memperjuangkan dan memperkasakan ekonomi kaum bumiputera harus menyahut cabaran ini dengan merangka strategi baru yang lebih mantap dan bersepadu.

Bagaimana pun, Najib telah memberi jaminan bahawa kepentingan kaum bumiputera tidak akan diabaikan di mana penyertaan 30 peratus bumiputera masih menjadi sasaran walaupun kini sebagai sasaran makro.

Ini kerana, kajian telah menunjukkan bahawa mengikut pelaksanaan garis panduan dulu di mana syarat wajib 30 peratus ekuiti bumiputera pada Tawaran Awal Permulaan (IPO), daripada sejumlah RM54 bilion saham milik bumiputera, kini hanya tinggal sebanyak RM2 bilion.

Saya sendiri agak terperanjat dengan pendedahan tersebut. Ini belum lagi mengambil kira saham milik bumiputera yang ada tetapi lebih merupakan saham 'Ali Baba'.

Hanya saya khuatir sekiranya pemansuhan sepenuhnya 30 peratus ekuiti bumiputera diteruskan, mungkinkah akan menyukarkan usaha kerajaan mencapai sasaran makro 30 peratus ekuiti bumiputera.

Saya berharap penubuhan Ekuiti Nasional (Ekuinas) dapat menjadi strategi yang lebih efektif dalam mengejar sasaran makro 30 peratus ekuiti bumiputera. Mungkin juga kerajaan boleh mengkaji mengurangkan syarat wajib ekuiti bumiputera pada Tawaran Awal Permulaan (IPO) dari 30 peratus ke 10 peratus dan perkenalkan syarat 50 peratus dari tebaran awam awal kepada pelabur bumiputera seperti yang diumumkan.

Saya teruja dan akur tentang keprihatinan kerajaan terus merangka strategi demi strategi untuk meningkatkan daya saing negara bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.

Namun saya berpendapat, kerajaan masih menghadapi banyak cabaran di dalam isu pelaksanaan di peringkat jabatan dan agensi-agensi kerajaan.

Persepsi tentang ketidaktelusan, ketirisan dan kekurangan komitmen masih menghantui segala usaha murni kerajaan. Namun pujian harus diberikan kepada Tan Sri Sidek Hassan kerana sememangnya timbal balas mengenai Tan Sri amat positif berlandaskan usahanya memerangi persepsi negatif ini.

Di sini saya ingin merujuk kembali kepada kekhuatiran saya mengenai keupayaan kaum bumiputera untuk menyahut cabaran agar lebih berdaya saing.

Untuk membolehkan strategi tentang kepentingan bumiputera dilaksanakan secara bersepadu, saya ingin menyarankan penubuhan satu unit di bawah Jabatan Perdana Menteri yang akan memantau secara khusus pelaksanaan kesemua polisi berkenaan bumiputera oleh jabatan-jabatan dan agensi kerajaan.

Segala permasaalahan boleh dibincang bersama dengan pertubuhan yang memperjuangkan kepentingan kaum bumiputera seperti GABEM dan PERKASA. Pihak jabatan dan agensi kerajaan pula dapat menyuarakan sebarang permasalahan mereka kepada unit pemantau ini dengan secara terus dan juga melalui dialog.

Kesemua ini adalah untuk memastikan usaha kerajaan mencapai pengagihan lebih saksama dalam merealisasi keadilan sosial negara.

Noordin Abbas,

Penulis ialah penganalisis ekonomi.

0 comments: