Ekuiti bumiputera tak hilang

Ekuiti bumiputera tak hilang

MINGGUAN: Bagaimanakah reaksi selepas pengumuman penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) dan pemansuhan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC)?

NOR MOHAMED: Kebanyakan reaksi yang diterima adalah positif. Tetapi ada juga yang tidak begitu faham tentang pemansuhan FIC. Secara asasnya, FIC yang diwujudkan sejak 36 tahun lalu mewajibkan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera bagi Tawaran Awal Permulaan (IPO). Pemansuhan itu membabitkan garis panduan berkaitan pembelian kepentingan ekuiti, penggabungan dan pengambilalihan.

Bagaimanapun, pemansuhan garis panduan itu tidak akan diganti dengan mana-mana garis panduan baru dan FIC tidak lagi memproses transaksi saham atau mengenakan sebarang syarat bagi transaksi tersebut.

Ketika ini mana-mana syarikat yang mahu disenaraikan perlu memenuhi syarat pegangan saham awam sebanyak 25 peratus, mengikut Peraturan Penyenaraian Bursa Malaysia dan syarat 30 peratus ekuiti bumiputera di bawah garis panduan FIC. Di bawah garis panduan baru itu, syarikat yang mahu membuat penyenaraian perlu menawarkan setengah daripada 25 peratus tebaran pegangan saham awal kepada pelabur bumiputera. Ini bermakna syarat ekuiti pelabur bumiputera telah dimasukkan bersama di dalam tebaran awam. Sungguhpun kita tidak nyatakan 30 peratus tentang IPO, tapi dalam syarat Suruhanjaya Sekuriti (SC) kadar 25 peratus perlu dikekalkan dan diberikan kepada umum termasuklah pelabur kecil.

Bagi menghadapi cabaran baru, garis panduan FIC yang diguna pakai pada 1974 kini dilihat tidak lagi relevan. Ia mewakili komponen utama strategi pertumbuhan dengan kesaksamaan. Hari ini, ia bukan lagi instrumen yang efektif untuk menyokong pertumbuhan dengan kesaksamaan itu. Sebagai contoh tahun 1970, ekuiti bumiputera hanya berjumlah 2.4 peratus. Ketika itu polisi sebegini merupakan sesuatu yang masih praktikal untuk menyediakan persaingan bagi pelaburan. Namun kini keadaan sangat jauh berbeza. Polisi pelaburan yang mewujudkan ketidakpastian kawalan dan tidak seiring dengan amalan antarabangsa, hanya akan menghalang potensi pertumbuhan negara.

Kerajaan sedar bahawa dengan pencapaian dan peningkatan kemampuan bumiputera hari ini, perlumbaan ke arah keseimbangan ekuiti memerlukan tumpuan terhadap kecekapan dan penyertaan ekonomi yang sebenar, dan tidak tertumpu kepada sekadar pemilikan sahaja. Kebanyakan dapat menerima penjelasan ini namun kita tetap akan meneruskan sesi penerangan dan pemahaman melalui beberapa siri seminar bagi memberi penjelasan yang meyakinkan. Mungkin wujud atau timbul tanggapan lain bahawa ini adalah satu relaxation kepada modul falsafah kita iaitu pertumbuhan dengan pengagihan khasnya dari agenda bumiputera. Sebenarnya ia akan tetap menjadi satu keutamaan. Kerajaan mempunyai skop yang lebih luas untuk membantu bumiputera jika mempunyai pertumbuhan yang tinggi.

Sebab itulah Ekuinas ditubuhkan beserta langkah-langkah lain yang difikirkan terbaik oleh kerajaan bagi membantu meningkatkan keupayaan bumiputera di negara ini. Malah kerajaan juga turut memberi fokus kepada instrumen- instrumen DEB yang telah berjaya dan yakin kita akan mendapat faedah yang lebih dari polisi liberalisasi.

Dengan pemansuhan syarat 30 peratus pada peringkat setiap syarikat, bagaimanakah kerajaan berhasrat mencapai sasaran 30 peratus ekuiti bumiputera secara keseluruhannya?

NOR MOHAMED: Pendekatan baru kepada pengagihan dijangka lebih efektif dalam menuju ke arah mencapai sasaran 30 peratus. Antara mekanisme yang akan menyumbang kepada pencapaian itu adalah peranan pengawal selia sektor dalam mengenakan syarat ekuiti ke atas sektor yang strategik. Selain itu pelaksanaan dasar oleh agensi kerajaan untuk meningkatkan penyertaan bumiputera dengan memastikan supaya syarikat dengan penguasaan bumiputera akan dapat sebahagian daripada perolehan kerajaan, lesen serta konsesi kerajaan.

Bagi menyokong kepada penyertaan ini, penguasaan bumiputera melalui institusi kewangan pembangunan (seperti SME Bank) serta dana pelaburan berkaitan kerajaan seperti Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan Ekuinas akan diberi perhatian.

Kerajaan melihat pengukuhan instrumen penyusunan semula sedia ada, seperti program pembangunan usahawan dan pemberian biasiswa, dengan fokus pendekatan baru supaya menumpukan pembangunan bumiputera kepada sektor-sektor terpilih yang strategik dengan peluang pertumbuhan tinggi.

Di kalangan orang Melayu ia dilihat sebagai tindakan untuk mengurangkan penguasaan mereka dan di pihak bukan Melayu pula mereka berpendapat ia tidak mencukupi dan perlu lebih lagi. Apa komen Tan Sri ?

NOR MOHAMED: Ini tidak benar sama sekali. Orang bukan Melayu akan melihat perlukah lagi falsafah pembangunan pertumbuhan dengan ekuiti, pengagihan dan agenda bumiputera. Sama ada sudah sampai masanya untuk kita memberi fokus hanya kepada pertumbuhan. Ini bukan masanya untuk berpolitik tetapi memberi tumpuan kepada pertumbuhan dan saya fikir pada masa kini dan tahun-tahun mendatang polisi tentang pertumbuhan dan pengagihan itu masih perlu dan begitu penting sekali dari segi socio-political stability kerana tanpanya walaupun kita mewujudkan pelbagai polisi, pelabur tidak akan datang. Pelabur datang atas beberapa perkara, pertamanya kerana socio-political stability. Keduanya kerana tidak banyak kerenah birokrasi dan ketiganya kerana terdapat jaminan tentang tenaga buruh. Terdapat pekerja mahir dalam bidang yang mereka labur dan jika tidak terdapat pekerja yang bersesuaian, kerajaan membenarkan pelabur mengambil pekerja asing yang bersesuaian.

Oleh itu kestabilan politik sosial yang paling penting sekali. Sungguhpun kita telah mencapai begitu banyak kejayaan dalam DEB namun ia masih belum sempurna. Masih lagi terdapat kemiskinan dan penguasaan bumiputera masih sekitar 19.4 peratus dan sebagainya. Untuk berjaya, kita perlu mengubah ekonomi kepada pertumbuhan lebih tinggi. Daripada satu sudut lain, kita berdepan dengan cabaran- cabaran besar untuk merealisasikan impian itu dan mengubah cabaran faktor luaran dan kekangan domestik menjadi pertumbuhan ekonomi yang kukuh. Tanpa pertumbuhan ekonomi yang kuat, kita tidak mampu mencapai objektif dalam pengagihan yang seimbang. Oleh itu perjuangan masih belum tamat dan ia harus terus diperjuangkan.

Bilakah akan ditamatkan pengagihan antara kaum ini?

NOR MoHAMED: Saya rasa bukan sekarang. Satu ketika dahulu ia lebih kepada satu keputusan politik. Tetapi dari segi angka ternyata kita tidak boleh melakukannya sekarang. Kita juga telah menjelaskan kepada bukan Melayu tetapi mungkin kita belum menjelaskan kepada mereka bahawa mereka tidak akan hilang apa-apa. Sebagai contoh, pada tahun 1970 terdapat 387 akauntan Cina, India 47 dan Melayu 40 orang dan kini jumlah ini meningkat sebanyak 17,836 bagi orang Cina, 1,247 bagi orang India dan 6,265 bagi orang Melayu. Maka dengan itu semua kaum ini telah mendapat faedah yang begitu banyak dalam aspek pembangunan negara melalui DEB. Terbukti polisi ini telah berjaya diamalkan kepada semua orang rakyat Malaysia. Tiada lagi kemiskinan kepada orang Cina.

Namun kita masih perlu mengubah beberapa perkara bersesuaian dengan perubahan zaman dan dari segi falsafahnya tidak nampak sebarang keperluan untuk mengubahnya.

Bagaimanakah perancangan untuk menyeimbangkan pengagihan ini dengan pendidikan?

NOR MOHAMED: Kalau ada satu faktor yang telah berjaya dihasilkan jika dibuat perbandingan dari tahun 1970-an dan sekarang dalam usaha menghapuskan kemiskinan ialah melalui pendidikan. Kita telah berjaya menghasilkan para profesional kita yang juga terdiri dari anak-anak kita.

Mereka inilah yang telah dihantar bersekolah di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), melanjutkan pelajaran ke universiti terbaik di luar dan dalam negara. Mereka inilah pada tahun 60-an dan 70-an yang telah mengangkat kedudukan dan martabat diri dan keluarga mereka dengan keluar dari kancah kemiskinan melalui pelajaran. Aspek pendidikan merupakan perkara yang sangat penting dan tidak ada negara di dunia yang pada tiap-tiap tahun memberikan peruntukan antara 20 hingga 25 peratus untuk faedah pendidikan. Dan berasaskan dari pendidikan inilah kita telah berjaya melahirkan para profesional dan cerdik pandai dalam pelbagai bidang. Mereka inilah yang telah membantu kerajaan dalam mengurangkan kemiskinan.

Kejayaan ini berjaya dilaksanakan tanpa mengira kaum. Semua dilakukan melalui ilmu dan kita berjaya melaksanakannya dengan cemerlang. Maka adalah penting kepada kerajaan untuk meneruskan kecemerlangan pendidikan. Pendidikan merupakan sesuatu yang sangat penting dan melaluinya juga kita berjaya mengubah negara daripada sebuah negara miskin kepada sebuah negara membangun yang berdaya saing. Pendidikan jugalah yang akan mentransformasikan negara dari sebuah negara high middle income kepada sebuah negara maju.

Dari segi memberi kefahaman, adakah Tan Sri bersetuju ia perlu penjelasan lebih mendalam?

NOR MOHAMED: Kita akan memberikan penerangan bahawa sebelum ini sungguhpun dari segi teori kita bagi 30 peratus kepada semua syarikat yang buat IPO tapi dari segi praktikal kita tidak boleh melakukannya. Ia kerana kita tidak dapat cari bumiputera yang mampu memiliki 30 peratus, selepas satu jangka masa kita terpaksa memberi waiver. Ramai juga yang mendapat waiver ini atas alasan tiada bumiputera yang mampu memilikinya. Lepas itu kita bagi lanjutan masa masih tidak dapat.

Oleh itu dari segi teori ia nampak praktikal namun mereka masih gagal memenuhinya. Kerajaan telah mengagihkan sejumlah RM54 bilion ekuiti kepada bumiputera. Bagaimanapun hanya RM2 bilion kekal. Selebihnya dijual untuk mengejar keuntungan. Mereka ini pegang ekuiti hanya untuk tempoh yang pendek dan menjualnya dengan keuntungan yang sedikit. Orang lain yang membelinya memegang pada tempoh yang lama tapi dapat untung banyak. Kalau mereka simpan kita telah mencapai pegangan sebanyak 30 peratus tapi kita jual dan akhirnya penguasaan 30 peratus tidak berjaya. Namun kita tidak rugi sebab kita masih lagi pegang kepada bukan hanya 30 peratus tetapi lebih banyak lagi dalam sektor-sektor strategik yang dilaksanakan oleh pengawal sektor.

Kuota bumiputera itu pada sektor strategik di tahap mikro tidak kita hapuskan. Hanya di peringkat makro sahaja. Masih lagi menjadi matlamat kita untuk mencapai satu proportion yang tinggi dan kalau boleh dalam sektor-sektor tertentu lebih dari 30 peratus. Bukan sahaja melalui FIC melalui ekuiti tetapi juga melalui lesen. Kalau kita lihat orang-orang kaya di Malaysia dari 10 terkaya ada seorang dua yang menduduki tempat teratas. Mereka menjadi kaya dengan cara bagaimana? Mereka mendapat kontrak dan sebagainya serta dianugerahkan lesen oleh kerajaan. Jadi kita mendapat pengajaran bahawa kita harus menggunakan lesen-lesen sebegini untuk memupuk dan melatih mereka menjadi usahawan besar dan berjaya.

Mungkin ada yang mendapat lesen dan sebagainya, namun kita harus lebih menumpukan kepada usaha pemberian lesen untuk menjayakan para usahawan bumiputera. Tumpuan kepada menjayakan usahawan dan ekuiti bumiputera tidak akan hilang malah akan diperhebatkan. Hanya instrumen yang tidak berguna dan ketinggalan zaman yang akan dihentikan tapi kita akan memberi tumpuan kepada aspek-aspek di mana kita akan menjayakan agenda memajukan bumiputera dengan lebih berkesan.

0 comments: