|
|
KETIKA penulis bersama rakan-rakan singgah di pekan Jitra, Kedah untuk makan selepas meninggalkan bandar Hatyai, Thailand, kami menyaksikan satu peristiwa yang cukup menarik. Ia bermula apabila pemandu van pelancong kami berketurunan Siam dari Hatyai bersedia membantu seorang gadis Melayu Thailand pulang ke Danok tanpa dikenakan sebagai bayaran.
Gadis berkenaan yang bekerja sebagai pelayan di gerai yang kami makan harus pulang segera ke Danok kerana ada ahli keluarganya meninggal dunia. Kesediaan pemandu tersebut yang beragama Buddha membantu dengan ikhlas menarik perhatian kami dan sekali gus mengimbas kembali apa yang penulis saksikan di salah sebuah pasar utama di Hatyai.
Pasar yang terletak di Jalan Thanon Monthi, bagi penulis adalah lambang perpaduan kaum di negara itu, biarpun di selatan Thailand terdapat usaha pihak tertentu untuk melaga-lagakan antara penduduk Islam dan Buddha.
Di pasar berkenaan, kita dapat melihat bagaimana eratnya hubungan kaum Siam dengan orang Melayu. Mereka berniaga bersama-sama tanpa sebarang masalah atau perasaan curiga. Apa yang lebih menarik, hanya beberapa meter daripada pasar itu, terdapat sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Pakistan.
Melihat kemeriahan dan keriuhan di pasar Jalan Thanon Monthi, perasaan penulis tertanya-tanya kenapakah perlu pihak-pihak tertentu cuba memusnahkan perpaduan yang terjalin tersebut. Harus diingat Hatyai adalah salah sebuah daripada bandar yang sebelum ini sudah ada cubaan menganggu gugat ketenteraman awam di situ.
Beberapa kali serangan bom dilakukan di Stesen Keretapi Hatyai, tetapi ia belum mampu menggugat keharmonian dan kerjasama antara kaum Siam Buddha dan Melayu. Ternyata sekali Thanon Monthi boleh menjadi contoh, bagaimana tenteramnya keadaan jika antara kaum sering memahami antara satu sama lain.
Di pasar tersebut, kita dapat melihat bagaimana eratnya hubungan antara kaum di Thailand. Mereka mencari rezeki bersama-sama setiap masa. Malah ada gerai orang Melayu terletak bersebelahan dengan gerai milik orang Siam Buddha dan ada pula orang Melayu yang bekerja di kedai tersebut.
Sebenarnya, penulis tidak berasa terkejut dengan suasana di pasar itu kerana amat memahami tidak ada rakyat di mana-mana juga negara yang mahu hidup dalam konflik dan peperangan. Sebelum ini penulis sudah melihat kegigihan kerajaan Thailand di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vejjajiva membantu masyarakat Islam di selatan.
Peranan
Malah kerajaan Thailand memainkan peranan aktif untuk membangunkan wilayah berkenaan. Pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan tiga wilayah di selatan iaitu Pattani, Yala dan Narathiwat kembali aman demi kepentingan masa depan penduduk Islam.
Suasana di pasar Thanon Monthi membuktikan jika semua rakyat mampu bekerjasama, bertolak ansur dan saling memahami antara satu sama lain, sudah pasti apa juga elemen yang cuba merosakkan perpaduan mereka tidak akan berjaya melaksanakan agenda berkenaan.
Salah seorang rakan penulis yang turut berjalan-jalan bersama, bertanya kalaulah Hatyai boleh aman berikutan perpaduan kaum antara orang Islam dan orang Buddha, kenapa di Yala, Narathiwat dan Pattani pergolakan terus berlaku?
Jawapan penulis kepada beliau ialah ia terjadi kerana ketiga-tiga wilayah berkenaan mempunyai kelompok pejuang pemisah yang terdiri daripada orang Melayu. Puak itu mempunyai matlamat politik mereka sendiri tanpa menghiraukan kesejahteraan hidup rakyat.
Mereka cuba membakar semangat orang Melayu supaya bangun menentang kerajaan dan melancarkan serangan-serangan yang bertujuan mencetuskan perbalahan antara kaum Siam dan Melayu.
Peristiwa serangan di Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan pada 8 Jun lalu sudah membuktikan bagaimana ada kelompok yang tidak mahu melihat suasana seperti mana dapat dilihat di Pasar Thanon Monthi berkekalan.
Melalui serangan seperti itu mereka berhasrat umat Islam di selatan akan bangkit dan sekali gus menjadikan masyarakat Siam Buddha sebagai sasaran.
Tetapi semua itu tidak menjadi kenyataan, kedamaian di pasar Thanon Monthi telah menjadi bukti bahawa apa pun yang dilakukan perpaduan kaum yang terjalin erat antara rakyat Thailand tidak akan mampu digugat oleh mana-mana pihak.
Semoga apa yang dilihat di pasar tersebut akan menjadi perangsang kepada penduduk-penduduk di Pattani, Narathiwat dan Yala bahawa keamanan adalah resepi terbaik bagi mereka mengecap kemakmuran.
Hasrat itu hanya akan tercapai jika mereka tidak prejudis kepada kerajaan dan paling penting tidak mudah terpengaruh dengan dakyah mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan terutamanya puak pemisah.
0 comments:
Post a Comment