Aparteid dan Yahudi

Aparteid dan Yahudi

Tidak habis-habis pemimpin pembangkang mengeluarkan kenyataan yang dangkal dan provokatif liar. Terbaru Pengerusi DAP Johor, Dr. Boo Cheng Hau mendakwa, adanya perbezaan antara bumiputera dan bukan bumiputera menyebabkan wujudnya amalan aparteid dalam pentadbiran negara ini.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapannya pada majlis pidato Persatuan Cina Batu Pahat, yang kemudian turut dilaporkan oleh akhbar Cina terbitan 30 Jun lalu.

Dakwaan itu bukan kali pertama keluar daripada mulut Cheng Hau. Tahun lalu, beliau pernah menyatakan amalan 'bumiputeraisme' atau pemikiran membantu golongan bumiputera di negara ini menyamai dasar aparteid di Afrika Selatan suatu masa dahulu.

Walaupun dibantah oleh banyak pihak ketika beliau mengeluarkan kenyataan yang sama sebelum ini, ia tidak menghalang wakil rakyat DAP itu mengulanginya lagi.

Menyamakan konsep membantu bumiputera yang majoritinya masih ketinggalan dengan amalan aparteid adalah tidak berasas dan melampau.

Pemahamannya tentang maksud aparteid juga salah. Kalau mengikut dasar aparteid, orang Cina tidak boleh bergaul dengan orang Melayu seperti naik bas, ke sekolah, ke tandas dan ke tempat kerja. Bukan setakat itu, di Malaysia, perayaan kaum disambut bersama sehingga ada majlis khas untuk sambutan peringkat nasional kaum Cina. Maka Awang ingin menyatakan dengan terang dan jelas bahawa kenyataan itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab dan buta realiti malah biadap.

Kadang-kadang Awang tertanya-tanya mengapa ada orang jenis ini dan yang sealiran pandangan dengannya boleh menjadi warga negara, elok sahaja berhijrah melalui kehidupan yang mereka inginkan di negara lain.

Membuat dakwaan itu kali pertama tanpa dikenakan sebarang tindakan oleh kerajaan dan mengulangi dakwaan yang sama kali ini, adalah bukti jelas bahawa negara ini tidak mengamalkan dasar aparteid. Melihat sekolah Cina yang tumbuh pesat sedangkan kaum itu cuma minoriti, satu lagi bukti tiada amalan aparteid. Mana ada negara dalam dunia yang bahasa ibunda kaum minoriti mendapat layanan begitu istimewa. Tidak usah pergi jauh, jengoklah realiti di Singapura selain Indonesia dan Thailand. Di Malaysia, parti-parti Cina diketuai DAP menolak sistem pendidikan satu bahasa sedangkan ia dilaksanakan di seluruh dunia.

Dari segi kebebasan berpolitik, jika Cheng Hau menjadi pembangkang di Singapura, orang mulut celupar seperti beliau akan tertindas bagai singa bisu tanpa taring.

Malah kekayaan negara ini terus 'dijajah' oleh kaum Cina. Terlalu banyak petunjuk, bukan setakat kedai motosikal, kedai tayar bahkan kawasan komersial, rumah-rumah kedai serta pemilikan kebanyakan hartanah di seluruh negara adalah milik orang Cina. Hampir kesemua pekan dan bandar termasuk pusat membeli-belah dikuasai perniagaannya oleh kaum tersebut. Itu belum bercakap tentang senarai teratas individu terkaya yang sebahagiannya menikmati monopoli bidang bisnes tertentu atas pemberian kerajaan.

Pertumbuhan pesat akhbar Cina yang menikmati keuntungan besar hasil pendapatan iklan amat lumayan kerana sokongan masyarakat perniagaan kaum itu serta edaran naskhah yang tinggi, adalah antara petunjuk jelas kekayaan kaum Cina di semua peringkat.

Sedangkan di kalangan masyarakat Melayu, masih ramai yang tidak membeli akhbar antaranya kerana kesempitan hidup. Bukan itu sahaja, akhbar-akhbar Cina lebih menikmati kebebasan dalam laporan mereka sehingga kelihatan begitu rasis. Kebanyakan akhbar Cina juga mempunyai kecenderungan menyokong pembangkang terutama DAP dan PKR sehingga membawa aspirasi yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan dan realiti sejarah.

Usahawan Cina yang berniaga termasuk peniaga kedai di kampung-kampung Melayu di seluruh negara sejak merdeka lagi, tidak pernah diganggu. Mereka kaya kerana pasaran mereka ramai orang Melayu. Begitulah kebaikan dan kemurahan hati Melayu yang lama bernaung di bawah teraju kepimpinan UMNO terhadap kaum minoriti. Malangnya kini hakikat itu mahu dilupakan begitu sahaja.

Apakah ini semua boleh dianggap berlakunya dasar aparteid? Atau Cheng Hau tidak faham sejarah Afrika Selatan dan buta pula sejarah tanah air ini? Jika beliau menganggap dasar afirmatif membasmi kemiskinan semua kaum yang majoritinya adalah orang Melayu sama dengan dasar aparteid, ia jelas berniat jahat. Di Malaysia, sudah termaktub dalam Perlembagaan bahawa keistimewaan Melayu dan kaum bumiputera tidak harus dipersoalkan. Lagipun, selama DEB dilaksanakan, kepentingan kaum lain tidak pernah diabaikan dengan kaum Cina terus menguasai ekonomi negara. Harta mereka tidak dirampas sebagaimana berlaku di Zimbabwe.

Maka Cheng Hau dan DAP tidak sepatutnya menimbulkan sentimen perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian negara. Jika beliau boleh membuat dakwaan, pihak lain juga termasuk Awang boleh membuat pelbagai dakwaan. Apa perasaan beliau, jika Awang nyatakan bahawa pemikirannya itu tidak ubah seperti percaturan Yahudi? Jika menerima pakai doktrin pemikiran Yahudi, golongan minoriti akhirnya mampu menguasai majoriti dengan melaksanakan strategi tersusun antaranya melenyapkan sejarah, mengawal ekonomi dan melemahkan umat Islam dengan banyak cara termasuk mahu mereka berpecah sepanjang masa. Sememangnya makin kuat kebimbangan masyarakat Melayu terhadap percaturan politik pembangkang khususnya DAP yang dibantu oleh PKR pimpinan Anwar Ibrahim untuk memecahkan asas kenegaraan dan realiti sejarah di negara ini kononnya atas nama demokrasi dan kebebasan. Lebih menyedihkan perjuangan DAP mendapat simpati pemimpin Pas terutama Nik Aziz Nik Mat. Nik Aziz lebih percayakan DAP berbanding parti Islam yang lain kerana beliau mudah tertipu atau sengaja merelakan dirinya tertipu demi mempertahankan ego politiknya. Dalam laporan di akhbar yang sama, Cheng Hau turut menyatakan bahawa jika pakatan pembangkang memerintah, DAP memberi jaminan bahawa Pas tidak akan mampu menubuhkan negara Islam, walaupun Nik Aziz menjanjikannya. Mesejnya, DAP adalah dominan dalam pakatan pembangkang. Parti itu tidak tunduk kepada Pas termasuk dalam krisis terbaru pakatan pembangkang di Kedah.

Banyak lagi perkara yang Awang bimbang terutama institusi raja yang kini sentiasa diperlekehkan. Malah sudah ada gerakan tersusun untuk membubar dan menulis semula Perlembagaan negara. Apa makna ini semua? Selagi orang Melayu tidak sedar dan tidak bangkit bersatu menghalang percaturan berbahaya ini, selagi itulah kita melihat makin banyak perkembangan yang menghakiskan kepentingan Melayu. Belum lagi DAP dan PKR berkuasa, Melayu sudah di ambang kejatuhan, bayangkan nasib Melayu nanti. Belum berkuasa mereka sudah rakus melumpuhkan struktur Melayu. Apabila mereka berkuasa, jangan terkejut - Melayu akan kembali dijajah oleh parti yang membawa pemikiran Yahudi.

0 comments: