PENGGEMBLENGAN tabungan institusi mampu memantapkan kedudukan ekonomi Bumiputera. |
Usahawan Bumiputera, agensi amanah perlu bersedia berdepan persaingan lebih ketara
LANGKAH melonggarkan garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) dan penubuhan sebuah institusi pelaburan baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Khamis lalu, mendapat reaksi positif kebanyakan pihak. Namun, ada juga pandangan skeptikal, terutama yang membabitkan kepentingan Bumiputera. Wartawan Berita Minggu, Ahmad Naim Tahir mendapatkan pandangan pakar ekonomi yang juga bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berhubung inisiatif terbaru kerajaan itu.
PENDEKATAN untuk meliberalisasikan ekonomi Malaysia ada kala mengundang kritikan kerana ia dilihat sebagai mengecilkan peluang Bumiputera mengukuhkan kedudukan ekonomi mereka. Apa pendapat Tan Sri.
Dasar meliberalisasikan ekonomi negara bertujuan memantapkan perkembangan ekonomi dengan mengundang lebih banyak pelaburan swasta termasuk pelaburan asing dalam pelbagai bidang di negara ini, khususnya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan. Saya tidak melihat ia akan mengecilkan lagi kepentingan atau pegangan ekuiti Bumiputera atas beberapa sebab.
Sebab pertama ialah kerana penyertaan Bumiputera dalam bidang yang dilonggarkan itu memang pun rendah. Kedua, dengan pelonggaran syarat ekuiti, maka banyak peluang dan kegiatan ekonomi baru dapat diwujudkan yang boleh menguntungkan Bumiputera dari segi peluang pekerjaan dan perniagaan. Bagaimanapun, usahawan Bumiputera dan agensi berteraskan amanah perlu bersedia untuk berdepan dengan persaingan yang lebih ketara.
Ada juga yang mendakwa liberalisasi ini seolah-olah cuba membunuh semangat atau roh Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan mengurangkan lagi ekuiti Bumiputera. Benarkah tanggapan sedemikian.
DEB sudah pun tamat pada 1990 dan digantikan dengan Dasar Pembangunan Negara, Dasar Wawasan Negara dan kemudian Misi Nasional. Dasar ini juga mengambil kira matlamat pertumbuhan dan pengagihan, tetapi berasaskan keadaan ekonomi semasa. Kerajaan perlu praktikal untuk menyesuaikan hasrat DEB agar ia tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.
Pertumbuhan adalah penting bagi menjana peluang pekerjaan dan perniagaan serta mengukuhkan asas hasil (revenue base) kerajaan. Negara perlukan peluang ini bagi membantu usaha meningkatkan kedudukan ekonomi masyarakat khususnya mereka di luar bandar dan Bumiputera. Namun, kita perlu pastikan peluang yang diwujudkan itu betul-betul berupa 'high-value' atau bernilai tinggi serta faedahnya dapat dinikmati masyarakat keseluruhan.
Boleh Tan Sri ulas bagaimana kerajaan boleh menjamin kelonggaran FIC tidak akan menjejaskan pegangan ekuiti Bumiputera dalam jangka panjang.
Pada peringkat awal, FIC menumpukan usahanya kepada sektor pelabur asing kerana masa itu (1970-an), milikan asing melebihi 60 peratus daripada jumlah ekuiti korporat. Sekarang sektor itu hanya mewakili 30 peratus, maka perhatian sudah berpindah kepada pelabur tempatan khususnya bukan Bumiputera.
Kini usaha memastikan agar setiap syarikat menetapkan ekuiti Bumiputera pada tahap 30 peratus oleh FIC perlu dipinda kerana kaedah ini mungkin tidak sesuai lagi. Sebenarnya banyak peluang pembelian saham disediakan melalui usaha FIC, tetapi tidak ramai pengusaha Bumiputera yang membelinya walaupun sudah diadakan usaha penjodohan atau `matching' oleh pihak kerajaan.
Yang kedua, pegangan setakat 30 peratus dalam setiap syarikat tidak memberi kuasa atau kawalan yang bermakna untuk tujuan mempengaruhi dasar dan hala tuju pengurusan. Pihak majoriti yang menguasai 51 peratus ekuiti dan ke atas yang akan menentukan dasar dan hala tuju syarikat. Bukan Bumiputera juga tidak gemar membeli saham jika mereka tidak menguasai syarikat berkenaan.
Mengapa Bumiputera digalakkan menyertai setakat 30 peratus saja? Tambahan pula ada Bumiputera yang selepas membeli saham sebanyak 30 peratus, ingin menjual saham mereka, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana tidak ada pembeli. Oleh itu, mereka terperangkap dalam keadaan tidak mempunyai kuasa mempengaruhi syarikat serta tidak dapat menjual saham yang dipegang khususnya jika saham itu sudah merosot dari nilai awalnya. Oleh itu, sudah sampai masanya dasar FIC diubah kepada satu dasar dan kaedah lain.
Seperti dinyatakan Perdana Menteri, antara tujuan perubahan itu ialah untuk mengurangkan amalan 'ali baba' kerana inisiatif terbaru ini akan hanya membantu mereka yang menolong diri sendiri. Apa pendapat Tan Sri.
Memang ada amalan 'ali-baba' yang dilakukan semata-mata untuk memenuhi dasar FIC. Kita perlu mencari jalan supaya yang membeli dan memegang saham itu benar-benar pengusaha dan pelabur tulen, bukan mereka yang mengambil kesempatan semata-mata. Kita perlu memikirkan agar Bumiputera memegang saham pada peringkat majoriti atau lebih supaya mereka terbabit secara aktif dari segi pembuatan dasar dan pengurusan serta aspek lain dalam syarikat berkenaan.
Bagaimana pula manfaat garis panduan yang menetapkan 50 peratus daripada 25 peratus Tebaran Awam oleh syarikat yang hendak melaksanakan tawaran awal permulaan (IPO) perlu diberikan kepada Bumiputera.
Ia baik kerana ada kemungkinan lebih ramai Bumiputera yang membeli saham itu disebabkan ia dari bahagian 'public spread' atau tebaran awam. Ada kemungkinan juga peratus pegangan Bumiputera boleh melebihi had 30 peratus berbanding keadaan sebelum itu.
Perdana Menteri mendedahkan ramai pemegang saham Bumiputera menjual saham mereka hingga menyebabkan penguasaan ekuiti Bumiputera mengecil. Bolehkah situasi sama berulang walaupun dengan adanya inisiatif baru ini.
Untuk mencapai pegangan saham sebanyak 30 peratus pada 2020, bermakna pegangan saham itu perlu kekal dalam 'tangan' Bumiputera. Ia boleh berlaku jika pegangan saham itu dibuat oleh institusi amanah atau institusi yang berkaitan dengan kepentingan Bumiputera.
Pihak pelabur individu akan menjual untuk meraih untung daripada peningkatan harga saham. Sebab itu jumlah saham yang diperuntukkan oleh FIC kepada individu Bumiputera merosot kerana banyak sudah dijual. Untung pada peringkat individu, tetapi satu kehilangan pada peringkat masyarakat Bumiputera, melainkan individu Bumiputera itu menggantikannya dengan satu pegangan aset produktif yang lain.
Kerajaan juga akan memantau dan mengawal selia sektor serta aktiviti urus niaga hartanah, khususnya membabitkan pindah milik hartanah Bumiputera atau agensi kerajaan kepada bukan Bumiputera. Bagaimana Tan Sri melihat manfaat langkah ini.
Langkah ini memerlukan pemantauan yang rapi. Dalam hal ini, rekod jual beli hartanah perlu diperkemas dan diperkasakan lagi. Untuk tujuan ini, kerajaan negeri dan pejabat tanah mempunyai peranan yang sangat penting untuk memantau hak milik hartanah Bumiputera di setiap lokasi.
Satu dasar menyeluruh pada peringkat negara perlu diselaraskan agar hak milik tanah Bumiputera tidak mudah terhakis. Di samping itu, Bumiputera sepatutnya tidak mudah melepaskan hartanah mereka kerana hartanah adalah aset yang penting dan sangat berharga pada masa depan.
Mengenai Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) yang bertujuan menjadi instrumen meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera. Bagaimana kerajaan boleh memberi jaminan Ekuinas dapat menebarkan taburan ekonomi yang adil kepada masyarakat.
Saya tidak tahu bagaimana Ekuinas akan menjalankan tugasnya. Pada pendapat saya, Ekuinas boleh membeli saham dalam syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera dengan syarat syarikat itu mempunyai potensi pada masa depan. Ekuinas boleh mengurus saham itu dan menjual kepada Bumiputera kelak. Dalam pada itu, Ekuinas perlu juga memastikan pihak pengurusannya membabitkan eksekutif Bumiputera di semua peringkat.
Ada juga pihak bertanyakan mekanisme yang akan diguna pakai oleh kerajaan bagi memastikan penyertaan Bumiputera dalam Ekuinas benar-benar berasaskan merit, bukannya kerana 'kabel' atau kroni. Apa pendapat Tan Sri.
Mari kita lihat dulu bagaimana Ekuinas akan beroperasi. Kita tidak harus membuat spekulasi pada peringkat awal lagi. Namun, pihak berkuasa boleh menetapkan beberapa dasar dan syarat supaya 'modus operandi' Ekuinas selaras dengan hasrat penubuhannya. Saya percaya Ekuinas akan mengikut lunas amalan baik antarabangsa atau 'international best practices' dalam bidang tadbir urus dan pengurusan ekuiti swasta serta telus berasaskan kepada norma dan amalan antarabangsa.
Apakah Tan Sri melihat perubahan yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui inisiatif ini mampu meletakkan Malaysia di landasan yang betul untuk mendapat manfaat ketika pemulihan ekonomi dunia sekarang.
Kerajaan sudah melancarkan dua pakej rangsangan untuk memacu ekonomi negara. Langkah liberalisasi ini adalah satu kaedah rangsangan juga walaupun bukan berbentuk suntikan fiskal. Ia sesuai untuk menggalakkan aliran modal baru ke negara kita kerana sekatan pemilikan sudah dilonggarkan.
Yang pentingnya, kita perlu memastikan modal dan pelaburan baru itu membawa teknologi tinggi dan baru serta nilai tambah (value added) yang juga tinggi dan bersesuaian dengan keperluan kemahiran pekerja negara.
Pihak berkuasa perlu memastikan agar pelaburan baru tidak datang ke negara ini semata-mata untuk mengambil peluang daripada sistem galakan fiskal dan subsidi tenaga saja.
Persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak ialah bagaimana kerajaan mahu memastikan inisiatif baru ini dapat dilaksanakan dengan telus bagi membolehkan golongan sederhana dan miskin di luar bandar juga mampu mendapat manfaatnya.
Faedahnya banyak, seperti peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan peluang pendedahan kepada teknologi baru.
Bagaimanapun, ia terserah kepada pengusaha dan individu Bumiputera serta institusi amanah Bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji, Felda, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Johor Corporation dan sebagainya untuk bersedia berdepan dengan iklim perniagaan yang liberal ini.
Bumiputera tidak akan maju jika mereka tidak didedahkan secara berperingkat kepada sistem persaingan dan pasaran dalam negara sendiri, apatah lagi jika di gelanggang global kelak.
Pandangan ikhlas Tan Sri terhadap inisiatif baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu, dalam konteks manfaatnya kepada Bumiputera kerana masih ramai Bumiputera yang skeptikal dan menganggap semakin terpinggir dalam reformasi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan sekarang.
Pandangan ikhlas saya, usaha meningkatkan ekonomi Bumiputera adalah satu agenda penting yang masih belum selesai... masyarakat Bumiputera bukan masyarakat 30 peratus.
Usaha yang bersepadu membabitkan pihak kerajaan, profesional, usahawan dan industri Bumiputera perlu untuk berganding bahu mencari jalan yang lebih berkesan agar matlamat 30 peratus penguasaan ekuiti oleh Bumiputera tercapai menjelang 2020 dan kepada paras yang lebih tinggi lagi selepas 2020 selaras dengan kedudukan Bumiputera yang mewakili lebih 60 peratus daripada jumlah rakyat negara ini.
Satu tindakan dan strategi bersepadu berteraskan kepada aspek pekerjaan dan pasaran buruh, pemilikan ekuiti, keusahawanan dan penggemblengan tabungan Bumiputera yang diterajui bersama oleh institusi amanah seperti PNB, Tabung Haji, Felda, LTAT, dan Johor Corporation boleh memantapkan kedudukan ekonomi Bumiputera.
INFO
Pemansuhan garis panduan FIC babitkan:
Pemerolehan harta
Ekuiti Nasional
0 comments:
Post a Comment