Diva Cinta dan Pahlawan Indonesia
Oleh Zulkefli Hamzah
"Saya tidak mahu memeluk anda kerana saya tahu anda lagi bernafsu mahu memeluk saya''. Rossa, Diva Cinta dari Indonesia ini bernasib baik. Canda nakalnya itu mungkin sahaja boleh disalah ertikan.
Bayangkan jika ungkapan spontan di pentas terbuka semasa Konsert Mini Cerita Cinta Rossa itu dilakukan oleh Siti Nurhaliza atau Shelia Majid. Apa agaknya reaksi khalayak?
Tetapi toleransi kira-kira 2,500 orang di Life Centre Kuala Lumpur malam Sabtu minggu lalu menyelamatkan Rossa, pelukan Rossa ke atas seorang penonton lelaki tidak dilihat sebagai keterlaluan. Begitu juga canda-canda nakalnya.
Atau mungkin tidak terlintas langsung di fikiran mereka konotasi negatif canda-canda Rossa itu. Mungkin penonton yang memenuhi dewan KL Live memahami ia adalah senda gurau biasa dalam konteks bahasa pergaulan dan budaya Indonesia.
Canda Rossa kepada seorang penonton yang dijemput ke pentas sebaik sahaja beliau memeluk seorang lagi penonton itu, malah diiringi histeria audiens.
Rossa yang kini 'pisah ranjang' dengan suaminya - istilah Indonesia merujuk suami isteri tidak lagi tinggal serumah - seperti membius penonton dengan lagu-lagu cintanya.
Cerita suka duka cintanya itu dihangatkan lagi dengan kehadiran Pasha, vokalis utama kumpulan Ungu, yang berduet dengan Rossa dalam lagu Terlanjur Cinta dan Tercipta Untukku .
Sekali lagi diva cantik ini mencabar ghairah penonton. ''Kacak bukan, siapa mahu jadi kekasihnya'', tanya Rossa diiringi bauran sorakan dan jeritan penonton khususnya wanita. Pasha, teman akrab diva beranak satu itu, kebetulan baru menjadi duda.
Inilah kelebihan penghibur Indonesia dalam konsert sulung solonya itu. Tidak kekoh berbahasa Indonesia di depan peminat negara tetangganya. Kalau peminat Malaysia boleh menghayati setiap bait lagu-lagunya dalam bahasa Indonesia, mengapa pula tidak semasa interaksi secara langsung.
Dalam suasana hangat interaksi Rossa dengan khalayak anak muda Malaysia ini, ratusan ribu warga senegara Rossa, di luar dewan Live KL ini juga sedang berinteraksi dengan majikan masing-masing.
Bezanya, mereka tidak berada di tempat terbuka. Di dalam rumah-rumah banglo, teres dan apartmen. Sedang nasib Rossa berada di tangan para peminatnya, nasib amah-amah Indonesia ini bergantung hampir seratus peratus kepada budi bicara majikan masing-masing.
Ada yang tertekan menunggu waktu sesuai untuk menghabiskan kontrak kerja dan ingin segera pulang berkumpul bersama keluarga. Segelintir yang tamak sentiasa menunggu kesempatan untuk berlaku curang kepada majikan. Sebahagian pasrah, berserah pada takdir. Ramai pula sudah terbit rasa sayang menganggap diri sebagai ahli keluarga majikan.
Reaksi berbeza-beza ini menjadikan sektor pembantu rumah satu urusan yang serba kompleks. Tiada kaedah khusus dapat menyelesaikan urusan pembantu rumah dari negara berpenduduk 240 juta ini.
Membekukan
Justeru, langkah kerajaan Indonesia membekukan penghantaran pembantu rumah ini bukanlah satu tindakan yang bijak, Tetapi keputusan telah dibuat. Berita baiknya, jalan perundingan terus dibuka untuk menyelesaikan apa juga isu yang berbangkit dan dibangkitkan.
Memang itulah yang dilakukan selama ini. Cuma kali ini ancaman untuk membekukan penghantaran amah benar-benar dilakukan. Waktu ia dilakukan semasa kempen pilihan raya Presiden sedang rancak berjalan membuatkan ramai percaya bahawa benarlah tanggapan pembantu rumah telah dijadikan komoditi politik.
Mengapa pembantu rumah Indonesia ini terus mencetuskan masalah sehingga selalu menganggu hubungan di peringkat negara? Setiap kali pemimpin kedua-dua negara bertemu inilah antara isu yang dibangkitkan.
Realitinya, dari segi pendapatan ramai majikan Malaysia sebenarnya tidak layak untuk menggaji pembantu rumah. Tetapi ia dilakukan demi menyelamatkan kerjaya suami isteri walaupun gaji terkumpul hanya sekadar melepasi syarat minimum RM3,000. Dari segi kos mengurus rumah tangga, apakah gaji sebanyak itu efektif?
Pilihan yang ada ialah mendapatkan pembantu rumah semurah yang mungkin. Pilihan terbaik tentu sahaja dari Indonesia. Malah untuk menjimatkan kos, ada yang meminta bantuan saudara mara dan kenalan untuk mengambil terus amah dari tempat sumbernya.
Permintaan terhadap pembantu rumah memang tinggi, dengan anggaran 3,000 amah Indonesia di bawa masuk ke Malaysia setiap bulan.
Buruknya, harapan dan jangkaan terhadap pembantu rumah pun tinggi. Semua kerja rumah dilonggokkan kepada mereka. Semua kerja harus sempurna. Sedangkan kemahiran amah yang ditakrif 'bergaji murah berkelas rendah' begitu minimum.
Mereka memang boleh memasak. Tetapi tentulah bukan masakan Melayu, Cina atau India. Kalaupun mereka ada pengalaman di Indonesia, tetapi suasananya berbeza. Kebanyakan rumah di sana sekurang-kurangnya mempunyai dua pembantu dengan masing-masing diberi kerja khusus. Menjaga anak, mengemas rumah dan memasak masing-masing dilakukan oleh pembantu rumah yang berbeza.
Latihan di pusat-pusat induksi hanya menyediakan kemahiran dan pengetahuan asas. Ini belum diambil kira dari aspek psikologi. Jauh di perantauan dengan tiada teman dan terkurung pula di dalam rumah.
Sedangkan di kampung asal, mereka sudah terbiasa dengan persekitaran yang bebas dan luas. Setiap petang berkumpul dengan jiran tetangga di halaman rumah dan sentiasa ada peluang untuk berhibur di majlis kenduri-kendara.
Memang kita serumpun. Tetapi banyak perbezaan ketara terutama dari aspek bahasa dan tahap pemikiran yang seringkali tidak disedari dan diabaikan. Jadilah, lain disuruh, lain pula yang dibuat.
Di sinilah memerlukan kesabaran, toleransi dan kefahaman majikan kerana segala ketidakselesaan ini akhirnya akan berpindah tangan kepada majikan, itulah risikonya. Masalah mereka menjadi masalah majikan. Majikan yang bersedia berkongsi kepayahan biasanya dapat memudahkan keadaan. Tetapi sekali lagi, bukan semuanya begitu.
Silap mata
Permainan silap mata agensi pekerja asing dan pihak-pihak berkepentingan di Indonesia juga menjadi penyumbang kerumitan masalah pembantu rumah Indonesia. Mereka digelar pahlawan - pahlawan devisa - tetapi dilayan seperti warga entah kelas berapa.
Di sini pula, ada yang tidak bernasib baik. Tenaga mereka yang sepatutnya menjadi amah disalah guna. Mereka dikerah membuat kerja-kerja lain. Menjaga kedai, malah menjadi buruh, Segelintir pula diseksa, didera.
Bagi kes-kes kekejaman ini, Malaysia telah membuktikan ketelusannya. Majikan yang melakukan kejahatan segera dihadapkan ke muka pengadilan. Tiada apa yang disembunyikan. Tiada kompromi dalam soal itu. Cuma masalahnya ia selalu sahaja dieksploitasi secara keterlaluan sehingga mencetuskan keadaan yang tidak perlu.
Apa juga masalah berbangkit memang perlu diselesaikan segera. Hari berganti minggu, masalah tetap ada. Panel khas dari kedua-dua belah negara perlu terus melakukan konsultasi. Memang tiada jalan pintas dan akan selalu ada perkara berbangkit kerana ia melibatkan pengurusan manusia. Sepatutnya sedang sistem yang dipersetujui bersama berjalan, pada waktu sama penambahbaikan terus dibuat.
Dalam usaha untuk menginstitusikan sektor pembantu rumah ini, perkara utama yang harus diberi perhatian ialah aspek kawalan dan pemantauan oleh pihak kerajaan. Kelemahan dalam aspek ini begitu ketara.
Pada masa ini, majikanlah yang mengawal sepenuhnya amah mereka. Sudah ada syarat pengambilan pembantu rumah diberi cuti rehat, tetapi siapa yang memastikan ia dilaksanakan. Ada syarat gaji minimum RM400 dibayar melalui bank tetapi tiada pihak yang memantaunya.
Begitu juga soal kualiti pembantu rumah. Apa yang harus dilakukan ke atas amah yang panjang tangan, curi tulang dan sering sakit atau lari dari rumah umpamanya. Jaminan apa yang majikan akan dapat? Apakah tempoh jaminan 30 hari itu mencukupi? Majikan tidak akan berdaya untuk terus meminta pertukaran pembantu rumah kerana sering kali proses itu memakan masa.
Tidak mempunyai pembantu rumah bagi suami isteri yang bekerja memang membebankan. Itu realiti hidup di bandar-bandar besar di Malaysia. Di pihak sebelah sana, mereka tidak mempunyai pekerjaan sedangkan keluarga harus terus makan dan diberi perlindungan. Ertinya, mereka sangat memerlukan pekerjaan.
Malaysia adalah negara pilihan untuk mencari nafkah. Tidak semua yang berani merantau mencari rezeki sejauh ke Asia Barat. Atau ke negara yang sama sekali berbeza budaya, bahasa dan agama mereka.
Dan kembali kepada Rossa, sosok ini memang mengagumkan dan luar biasa. Rossa dan ramai lagi artis Indonesia mudah diterima di Malaysia. Sukar untuk mempersoalkan kualiti yang ada pada mereka. Filem-filem dan sinetron Indonesia sentiasa menjadi pilihan. Ia sudah sebati dan menjadi sebahagian hidup rakyat Malaysia.
Begitu juga amah Indonesia. Mereka menjadi pilihan. Dalam keadaan marah atau pun kecewa terhadap kerenah pembantu rumah Indonesia, kita tetap memilih mereka sambil berharap kali ini nasib menyebelahi kita. Begitulah selalunya. Berserah pada nasib.
Tetapi janganlah pula jadikan kerenah segelintir majikan kejam dan tidak berperikemanusiaan untuk memutuskan ikatan saling memerlukan itu, Masalah akan terus ada, tinggal lagi bagaimana kesediaan dan ketelusan kita untuk mengatasinya secara terhormat. Kerana di negara asal mereka sendiri, kelompok pembantu rumah ini digelar pahlawan.
Dan kita, kita puja diva mereka. Kita juga sayang dan perlukan pahlawan devisa mereka.
0 comments:
Post a Comment