Bahang politik dari Utara - PULAU PINANG
Oleh ZIN MAHMUD
KALAU hubungan antara DAP dan Pas sering tegang dan bertelagah di antara satu sama lain, maka ia dapat difahami kerana kedua-duanya mempunyai fahaman yang sama sekali bertentangan. Pas mendokong negara Islam sementara DAP penganut sekularisme.
Tetapi antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, hubungan tegang seperti itu tidak wajar berlaku. Ini kerana kedua-dua DAP dan PKR mendokong sekularisme.
Justeru dalam pilihan raya umum tahun 2008, walaupun DAP tidak menyertai pakatan parti yang dinamakan sebagai Barisan Alternatif (BA) terdiri daripada Pas dan DAP, tetapi hubungan rasmi sebagai parti bersekutu wujud antara PKR dan DAP, sesuatu keadaan yang tidak ditentang oleh Pas. Namun dari segi praktisnya, ketiga-tiga parti tersebut, PKR, DAP dan Pas bekerjasama dalam pilihan raya itu.
Namun apabila pembangkang menang di Pulau Pinang, kerajaan campuran yang ditubuhkan membabitkan DAP dan PKR tetapi tidak Pas. Hanya apabila diumumkan penubuhan apa yang disebut sebagai Pakatan Rakyat, maka secara rasmi ketiga-tiga parti itu adalah anggota kerajaan campuran negeri Pulau Pinang.
Tetapi ketika pilihan raya, walaupun motif pengundi adalah pelbagai, tetapi secara rasminya, undi yang diterima DAP adalah sepenuhnya miliknya. Sementara apa yang diperoleh oleh PKR dan Pas adalah gabungan selaras dengan gagasan apa yang disebut sebagai BA itu.
Dominan
Kalau DAP dianggap sebagai parti Cina dan Pas adalah parti Melayu, PKR ditampilkan sebagai parti mewakili pelbagai kaum. Tetapi ia seharusnya merupakan parti yang anggota Melayunya adalah dominan. Ini kerana memandangkan Ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Melayu.
PKR hakikatnya merupakan gabungan Parti Keadilan Nasional (PKN) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), yang kedua-duanya dianggap parti yang anggota dominan adalah Melayu.
Dalam hal ini, PKN pula dianggap sebagai serpihan daripada UMNO. Maksudnya ia ditubuhkan bagi menampung ahli-ahli UMNO yang mengikut Anwar. Tetapi kemudian banyak badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang aktivisnya bukan Melayu menyertai PKN. Setelah berlaku perpecahan dengan sebahagian daripada anggotanya menyeberang ke Pas, maka akhirnya PKR sudah tidak menjadi parti yang anggota Melayunya dominan.
Keadaan ini mula ketara apabila berlaku rundingan pembahagian kerusi menjelang pilihan raya umum apabila DAP dan PKR dari kalangan ahli Cina bersaing untuk berebut kawasan majoriti Cina. DAP mula merasakan PKR sebagai pesaingnya.
Selepas pilihan raya umum 2008, PKR banyak ahli-ahli baru dan dipercayai bahawa kini majoriti ahlinya adalah bukan Melayu. PKR sudah tidak menjadi parti berbentuk dominan Melayu. Malah para pemerhati menyebut bahawa PKR akan menjadi Gerakan di mana pada satu masa dahulu pernah dipimpin dan disertai oleh orang Melayu tetapi akhirnya menjadi parti Cina.
Namun begitu di kawasan Melayu di Pulau Pinang, khususnya di Seberang Perai, terutamanya Permatang Pauh, termasuk Penanti, PKR, dan sebelumnya PKN dipandang sebagai parti serpihan UMNO. Itu juga pandangan banyak orang Pas di situ. Oleh kerana Pas sudah lama berjuang menentang UMNO sejak dahulu lagi, maka kemunculan PKN dan kemudiannya PKR ini, dinilai mengikut perangai orang yang dikenali itu.
Sebab itu semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh dan Penanti, terdapat perasaan tidak selesa di kalangan orang Pas terhadap PKR. Sejak penubuhan kerajaan negeri pimpinan DAP, orang Pas melihat gelagat pemimpin PKR sebagai tidak ubah seperti orang UMNO.
Apa yang dilihat sebagai ‘perangai UMNO’ yang merujuk kepada hubungan seseorang ahli politik dengan peluang memperoleh wang melalui kuasa bukan saja diperhatikan oleh Pas tetapi juga DAP.
Maka akhirnya pergeseran berlaku juga antara DAP dengan PKR melalui krisis ahli majlis tempatan. Syak wasangka di pihak kerajaan pimpinan DAP terhadap PKR mendorong mereka untuk tidak melantik kalangan ahli politik PKR bagi majlis tempatan. Tentu ini menimbulkan rasa tidak senang di pihak PKR.
Apa yang berlaku antara DAP dan PKR menunjukkan pertembungan yang bukan berbentuk fahaman tetapi lebih kepada pendekatan dalam amalan menggunakan kuasa.
DAP mempunyai sikap yang dianggap berprinsip dalam soal bersih, telus, akauntabiliti dan berlandaskan merit. Sedangkan PKR lebih bersifat pragmatik. Sebagai parti yang boleh dikatakan serpihan UMNO tentu mempunyai pengalaman bagaimana menggunakan kuasa untuk mencapai sesuatu matlamat. Maka di sini pasti berlaku pertembungan khususnya di Pulau Pinang.
Kalau dilihat dari sudut kaum, ia merupakan pertembungan antara DAP yang Cina dan PKR yang Melayu. Tetapi bukan saja DAP yang tidak menyenangi cara PKR. Begitu juga dengan Pas di negeri itu. Dalam hal ini, DAP dan Pas lebih dapat bekerjasama kerana mereka sudah lama menjadi pembangkang yang bekerjasama, sedangkan PKR adalah parti yang baru muncul. Mungkin isu ahli majlis tempatan ini tidak akan membawa hingga kepada perpecahan kerajaan campuran Pakatan Rakyat Pulau Pinang. Tetapi pergeseran yang berpanjangan itu pasti mengganggu dan mengurangkan kewibawaan DAP, Pas dan PKR sebagai pihak yang mampu menggantikan Barisan Nasional.
Namun begitu, kalau dilihat apa yang berlaku di Perak, jelas pergeseran antara PKR dan DAP akhirnya membawa kepada lompatnya dua ADUN PKR, yang merintis kepada kejatuhan kerajaan negeri Perak.
Tetapi apa pun puncanya, ia menunjukkan kelemahan parti utama dalam sesebuah kerajaan negeri. Di Perak, kejatuhan kerajaan negeri itu boleh dikatakan berpunca daripada kelemahan DAP sebagai parti utama negeri itu untuk menyelesaikan pergeseran politik dalaman pakatan parti-parti pembangkang itu. Begitu juga di Kedah. Rasa tidak puas hati wakil DAP boleh dikatakan sebagai kegagalan Pas sebagai parti utama negeri itu mengelak ia daripada menjadi krisis.
Maka di Pulau Pinang, ia adalah kegagalan pucuk pimpinan negeri iaitu pihak DAP untuk mengelak daripada berlakunya krisis antaranya dengan PKR. Soal prinsip adalah satu perkara. Tetapi kemahiran berpolitik melampaui soal prinsip serta etika. Ia merupakan permainan licik yang memerlukan segala kebijaksanaan.
0 comments:
Post a Comment