Anak Palestin turut berjuang

Anak Palestin turut berjuang

JARANG dibaca ialah tulisan oleh wanita Yahudi mengenai bangsanya dan kaitan dengan negara Israel. Menarik perhatian kerana itu ialah rencana oleh Rachel Shabi dalam sebuah akhbar mingguan Inggeris baru-baru ini. Ia menceritakan sesuatu yang tidak begitu diketahui, bertajuk Land of Broken Promises: Israel Should Embrace Jews of all Colours and Cultures.

"Saya Yahudi, tetapi keluarga saya berasal dari Iraq, ertinya tingkah-laku saya sebagai Yahudi, adalah bersifat Timur Tengah keseluruhannya," katanya dalam tulisan itu.

Lalu Rachel mencatat betapa ia dulu meminati muzik Arab oleh penyanyi terkenal seperti Ummi Kalsom atau Farid al-Atrash yang nyanyian mereka begitu emosi hingga menyebabkan para pendengar menangis dan "air mata mereka boleh menyiram taman bunga."

Menurut beliau, kira-kira 50 peratus penduduk Israel mulanya terdiri daripada orang Yahudi dari negara-negara Arab atau Islam. Kebanyakan mereka pindah ke Israel pada tahun 1948. Pada satu ketika, pelbagai kaum Yahudi itu - dipanggil Mizrahi - berupa majoriti penduduk Israel. Keadaan berubah manakala begitu ramai orang Yahudi datang dari negara-negara Soviet pada awal 1990-an. Dengan itu bilangan Yahudi timur barat sama ramai bilangan mereka. Rachel lalu menambah: "Pada ketika ini kalau ditambah bilangan penduduk Yahudi dari negara-negara Arab dengan orang Palestin warganegara Israel, maka bilangan Yahudi dari Eropah menjadi minoriti."

Dalam pada itu Rachel menjelaskan bahawa negara Israel didirikan oleh pendatang-pendatang dari Eropah yang mahu menubuhkan tanah air bagi orang Yahudi dari segala warna kulit dan kebudayaan. "Malangnya, pendatang-pendatang baru itu bersikap prejudis terhadap dunia Arab yang dianggap mundur, tidak bertamadun dan tercicir belaka."

Akibatnya, budaya Mizrahi, bahasa Arab, muzik Timur Tengah dan pelbagai budaya Yahudi - Arab diketepikan sama sekali.

Menurut Rachel lagi, Israel sepatutnya mengeratkan hubungan dengan jiran-jiran Arab iaitu lebih dari hubungan yang dijalin dengan Eropah. Beliau mengingatkan betapa sebelum bermusuh-musuhan kemudiannya, warga Arab dan Yahudi dulunya menjadi jiran-jiran yang akrab dan berkongsi kebudayaan.

Lain pendapat dicatat oleh majalah The Economist, London mengenai perang berlarutan 100 tahun di antara Yahudi dan Palestin. Antara lain disebut: "Kalaupun Israel menang di Gaza, sejarah perang 100 tahun itu menandakan bahawa bangsa Palestin tidak boleh disingkirkan secara kekerasan. Hamas akan terus hidup dan dengan itu kekal sikap warga Arab bahawa negara Yahudi tidak wajar wujud di Timur Tengah."

Menurut The Economist dalam rencana pengarangnya, Israel mestilah memperlihatkan betapa begitu kuatnya diri mereka hingga rela menyerahkan Tebing Barat, bukan Gaza sahaja, untuk melahirkan negara Palestin yang dijanjikan.

Menimbulkan rasa sedih ialah kisah dari majalah Third World Resurgence mengenai pelbagai peristiwa di Gaza semasa serangan-serangan bala tentera Israel. Laporan ditulis oleh John Pilger, wartawan dan pembikin filem dokumentari yang memenangi beberapa hadiah. Makalahnya mula terbit dalam majalah New Statesman London.

Beliau menulis: "Ketika melawat ke satu tempat di Gaza saya melihat bendera-bendera Palestin di pelbagai tempat tidak diduga. Memasangnya pada waktu senja ialah kanak-kanak. Tidak ada siapa menyuruh mereka memasang bendera-bendera itu.

Perjuangan bukan saja oleh orang-orang dewasa Palestin tetapi juga kanak-kanak.

Mazlan Nordin

Penulis ialah konsultan kanan ISIS Malaysia. Pandangan penulis adalah pendapat peribadi dan tidak ada kena-mengena dengan ISIS.

0 comments: