AS datang disambut, pergi dirai
Oleh Hafizahril Hamid
"AKHIRNYA mereka pergi. Pengunduran mereka ini sesuatu yang dinantikan.
"Kami semua (Syiah, Sunni dan Kurdis) sangat gembira pada hari ini," kata seorang rakyat Iraq, Waleed al-Bahadili yang menari kegembiraan bersama kebanyakan penduduk di bandar Baghdad.
Percikan bunga api menerangi ibu negara Iraq pada malam pengunduran tersebut. Pada waktu yang sama ribuan rakyat Iraq menghadiri satu majlis sambutan di sebuah taman yang menyajikan persembahan lagu-lagu patriotik oleh penyanyi-penyanyi tempatan.
Pembesar suara di balai-balai polis dan tempat pemeriksaan keselamatan tentera turut memainkan rakaman lagu yang sama sepanjang hari. Kenderaan-kenderaan tentera Iraq yang dihiasi bunga serta bendera Iraq meronda di sekitar kawasan ibu negara.
Perdana Menteri Nouri al-Maliki, turut mengumumkan cuti umum selain mengisytiharkan tarikh 30 Jun sebagai Hari Kedaulatan Kebangsaan.
Namun suasana kegembiraan ini hanya dapat dilihat dan dinikmati setelah penduduknya menderita dan sengsara sejak lebih enam tahun lalu.
Mengimbau kembali peristiwa bermulanya penjajahan pada pagi 20 Mac 2003, ledakan peluru berpandu, kereta kebal dan tentera Amerika Syarikat (AS) telah memecahkan kesunyian di bandar Baghdad.
Ketika itu bekas Presiden George.W. Bush, telah mengumumkan bahawa mereka mula melancarkan perang terhadap Iraq atas alasan memiliki senjata pemusnah besar-besaran. Namun setelah lebih 6 tahun berlalu, senjata tersebut masih belum ditemui dan akhirnya AS sendiri mengaku bahawa perang ini dilakukan berdasarkan maklumat yang salah.
Sejak itu perang AS-Iraq masih berlanjutan hingga sekarang walaupun Presiden Saddam Hussein berjaya digulingkan namun AS masih tetap berperang dengan penduduk negara itu yang tidak menerima kehadiran mereka.
Yang jelas peperangan ini telah mengakibatkan kesengsaraan yang teruk dan berterusan kepada rakyat Iraq seperti yang diluahkan seorang penduduk Baghdad, Hali Walid, "Rumah saya dimusnahkan oleh tentera Amerika dalam perang ini. Saya tidak suka pada Iraq dalam masa pemerintahan Saddam Hussein, tetapi saya benci apa yang berlaku di sini sekarang selepas kedatangan tentera AS,".
Oleh itu tidak menghairankan kenapa penduduk Iraq berpesta dan bergembira dengan sepenuh hati.
Bagi mereka kegembiraan ini puncanya hanya satu, pengunduran penjajah yang telah memporak-perandakan negara itu sehingga mengakibatkan penderitaan berterusan kepada penduduknya.
Pengunduran tentera AS dari kawasan bandar di Iraq bermula 30 Jun lepas merupakan sesuatu yang dinantikan sejak sekian lama.
Dengan tekanan supaya mengundurkan tentera dan krisis kewangan yang semakin serius, kerajaan AS membuat keputusan untuk menandatangani perjanjian tentang kedudukan tenteranya dengan kerajaan Iraq pada tahun lalu.
Sejak penjajahan di Iraq ini bermula, negara itu tidak pernah menikmati keamanan yang dijanjikan oleh AS.
Kebebasan
Walaupun operasi perang itu dinamakan "Operasi Pembebasan Iraq" namun tiada kebebasan sebenar yang dinikmati mereka. Yang nyata tiada lagi Presiden Saddam Hussein yang memerintah secara "kuku besi".
Namun begitu ia diganti pula dengan perang dan pertempuran antara etnik dan mazhab yang merasakan diri mereka lebih dominan di antara semua.
Sesungguhnya setakat ini setelah lebih enam tahun penjajahan tiada wujud kebebasan yang dijanjikan, tiada lagi penyatuan antara etnik dan mazhab serta tiada lagi kepimpinan yang mampu membuat keputusan sendiri tanpa perlu merujuk kepada AS.
Berdasarkan sejarah, Iraq terbukti sebagai sebuah negara yang hebat. Pernah dikenali sebagai Mesopotamia pada zaman kegemilangan Greek dan pernah menjadi tempat kediaman kepada tamadun awal dunia iaitu tamadun Sumeria.
Saidina Ali juga pernah menjadikan bandar Kufa sebagai pusat pemerintahannya setelah dilantik memegang jawatan khalifah Al Rashidin keempat dan terakhir.
Namun semua kisah kegemilangan Iraq itu kini hanya tinggal sejarah malah ketumbukan tentera AS yang melancarkan serangan sebelum ini telah merosakkan lagi kesan sejarah yang tinggal.
Kini dengan pengunduran tentera Iraq, sedikit sebanyak timbul harapan dan sinar baru bagi penduduk negara itu tentang erti kebebasan yang sebenar.
Namun pengunduran yang dimaksudkan ini bukanlah sesuatu yang signifikan kerana tentera AS ini hanya bergerak keluar dari kawasan bandar-bandar di Iraq ke kawasan pinggir bandar.
Tentera Iraq secara rasmi mengambil alih kawalan ke atas Baghdad dan bandar-bandar lain selepas tentera AS menyerahkan kawalan keselamatan di kawasan bandar.
Mulai saat itu, pasukan tentera AS yang berpangkalan di luar bandar tidak dibenarkan bertugas di bandar-bandar sekiranya tidak mendapat kebenaran daripada kerajaan Iraq.
Langkah ini dilihat ke arah menamatkan peranan tempur mereka di negara tersebut.
"Pengunduran tentera AS kini lengkap di semua bandar selepas mereka berkorban demi keselamatan. Kita sedang meraikan pemulihan kedaulatan negara," kata Nuri al-Maliki.
Pengunduran tentera tersebut merupakan langkah pertama pengunduran seluruh tentera AS dari negara itu seperti yang dipersetujui dalam perjanjian keselamatan AS-Iraq menjelang 31 Disember 2011.
Tarikh tersebut telah ditetapkan oleh Presiden AS, Barack Obama dan telah dijadikan modal kempen beliau sepanjang pilihan raya Presiden tahun lepas.
Bagaimanapun pengunduran tentera AS dari kawasan bandar ini telah menimbulkan beberapa persoalan yang membingungkan bukan sahaja rakyat Iraq tetapi turut menarik perhatian penduduk dunia.
Pengambilalihan kuasa oleh tentera Iraq sememangnya membanggakan rakyat negara itu, namun mereka juga khuatir adakah tentera kerajaan sudah bersedia, di samping kebimbangan keganasan akan semakin meningkat.
Ditambah pula dengan kebimbangan masyarakat Syiah bahawa akan berlaku lebih banyak insiden pengeboman oleh pejuang Sunah. Sementara itu bagi pihak Sunah mereka khuatir tentera keselamatan Iraq yang didominasi Syiah tidak akan memberi perlindungan sepenuhnya kepada mereka.
Peristiwa sebuah bom meletup di sebuah pasar sibuk di timur Sadr City pada 25 Jun lepas yang mengorbankan 72 nyawa menambahkan lagi kebimbangan tentang kesediaan tentera dan kerajaan Iraq.
Dilaporkan 127 orang lagi dilaporkan cedera dalam insiden yang berlaku di kawasan miskin dihuni penduduk Syiah.
Sebenarnya insiden pertumpahan darah telah berkurangan dengan mendadak di seluruh Iraq sejak tahun lepas, namun para pejuang termasuk Al-Qaeda masih terus melancarkan serangan pengeboman kereta dan serangan berani mati yang bertujuan melemahkan kerajaan dan meningkatkan konflik antara puak.
Namun serangan-serangan sebegini dijangka semakin hebat menjelang pilihan raya Parlimen Januari depan. Ia akan menjadi ujian penting sama ada puak yang bertelingkah di Iraq boleh hidup bersama selepas beberapa tahun terheret dalam pembunuhan sesama mereka.
Bagaimanapun pihak kerajaan dan rakyat Iraq sendiri masih optimis pengunduran tentera AS ini akan membawa kemakmuran kepada Iraq.
Bagi mereka kehadiran tentera AS merupakan masalah utama di Iraq yang menyebabkan situasi semakin tegang serta menjadikan Iraq sebagai padang perjuangan tentera AS.
Selain itu AS juga campur tangan dalam hal ehwal dalaman Iraq hingga menimbulkan konflik di antara puak.
Menteri Luar Iraq, Hoshyar Zebari menyatakan bahawa pengunduran tentera AS akan menjadikan kerajaan Iraq lebih yakin dalam mentadbir negaranya.
"Kami telah melaksanakan perjanjian mengenai pengunduran tentera yang dicapai bersama antara AS dengan Iraq. Hari ini merupakan hari yang amat bermakna dalam sejarah Iraq," katanya
Perdana Menteri Iraq, Nouri Al-Maliki menyeru semua orang Iraq supaya bersatu padu untuk membina semula negara mereka. Beliau dengan nada yakin menegaskan bahawa kerajaan Iraq berkemampuan melindungi keselamatan negara selepas pengunduran tersebut.
0 comments:
Post a Comment