Bahang politik dari Utara - Kedah

Bahang politik dari Utara - Kedah

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

JIKA hubungan antara Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas dilihat dari sudut bom jangka, apa yang berlaku di Kedah boleh diibaratkan detik ia akan meletup sudah pun hampir.

Kalau sebelum ini, Pas yang menerajui negeri tersebut terpaksa berhadapan dengan kerenah PKR, kini Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak harus bergelut dengan DAP pula.

Hanya kerana isu merobohkan pusat penyembelihan babi di Alor Setar, DAP Kedah mengambil tindakan drastik keluar daripada pakatan pembangkang. Satu-satunya wakil rakyat mereka, Lee Guan Aik sudahpun mengisytiharkan diri sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri Bebas dan berkecuali serta tidak lagi menyokong kerajaan negeri.

Namun begitu tindakan DAP tersebut tidak memberikan apa-apa kesan kepada pemerintahan kerajaan negeri kerana Pas tetap menjadi tonggak utama dengan penguasaan 16 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri. Justeru langkah DAP tidak akan mendatangkan kudis kepada Azizan sebaliknya Menteri Besar Kedah tersebut boleh mentadbir negeri tanpa gangguan parti berkenaan yang dilihat hanya ‘kacau daun’ sahaja.

Perkauman

Oleh itu ketegasan Azizan dalam berhadapan dengan tekanan DAP harus dipuji, beliau tidak melatah sebaliknya melakukan serangan balas dengan menyifatkan parti tersebut sengaja mencetuskan perkauman kerana mendakwa kerajaan hendak merobohkan tokong dan kuil.

Azizan tidak tergugat dengan sikap DAP yang biarpun mempunyai hanya satu kerusi di Kedah tetapi cuba menunjukkan sikap besar kepala. Sebab itulah, Menteri Besar Kedah tersebut bukannya mengambil tindakan memujuk sebaliknya menegaskan, ‘‘Semua Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung DAP Kedah perlu meletak jawatan serta merta.’’

Sememangnya, jika DAP benar-benar memegang semangat setia kawan mereka tidak akan bertindak sedemikian. Mereka seharusnya berbincang dengan Azizan bagi menyelesaikan masalah.

Tetapi DAP lebih selesa menggunakan ‘budaya ugut’ seperti mana diperingatkan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu dari PKR, Zulkili Nordin.

Justeru Azizan tidak perlu tunduk dengan ‘ugutan’ DAP kerana apa pun tindakan parti berkenaan ia tidak akan menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri. Dengan kekuatan hanya satu kerusi, DAP hanyalah menumpang kejayaan Pas dan bukannya Pas menumpang kejayaan DAP seperti mana berlaku di Perak sebelum ini.

Biarpun pergolakan yang berlaku dilihat boleh menjejaskan imej pembangkang tetapi rakyat sebenarnya tahu, sama ada tindakan Azizan betul atau tidak. Mereka terutamanya orang Melayu sudah pasti tidak selesa dengan sikap DAP.

Oleh itu tidak perlu ada mana-mana parti lain termasuk UMNO cuba hendak menangguk di air keruh, biarlah Pas dan DAP menyelesaikan masalah berkenaan.

Kalaupun UMNO hendak campur tangan adalah lebih baik mereka menyokong pendirian kerajaan negeri dan bukannya membuat kenyataan yang dilihat hanya menampakkan kedangkalan dalam usaha untuk campur tangan. Isu yang berlaku di Kedah adalah isu pentadbiran bukannya politik, oleh itu ia tidak seharusnya dipolitikkan.

Kerajaan negeri membuat keputusan berasaskan kepentingan untuk rakyat dan bukannya mempunyai sebarang agenda tersembunyi, apatah lagi berbentuk perkauman. Pusat penyembelihan itu seperti mana kata Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub harus dirobohkan atas faktor alam sekitar dan keselamatan.

‘‘Sebab itulah, saya berharap DAP janganlah mempolitikkan segala isu termasuklah dalam soal merobohkan pusat penyembelihan berkenaan,’’ katanya kepada Mingguan Malaysia.

Oleh itu DAP sepatutnya bertindak matang dan menghormati keputusan kerajaan negeri. DAP sepatutnya menjadi orang tengah untuk berunding dengan pengusaha babi dan bukannya ‘memanaskan’ keadaan.

Kita tidak dapat menafikan apa yang terjadi menunjukkan kerapuhan hubungan antara parti pembangkang tetapi dalam masa yang sama kita juga harus fikir kenapakah DAP sanggup menjejaskan imej kerajaan negeri di bawah kepimpinan Pas?

Dalam isu merobohkan pusat penyembelihan itu, ia bukanlah perkara baru malah seperti mana dijelaskan oleh Azizan, tempoh sebulan untuk menangguhkan kerja-kerja merobohkan pusat itu diminta sendiri oleh para pengusaha babi. Ia bermakna kerajaan negeri sudah pun bertolak ansur tetapi malangnya kebaikan kerajaan negeri telah dibalas sebaliknya oleh DAP.

Apa pun konflik yang berlaku, ia memberikan pengajaran kepada Pas bahawa itulah sikap DAP yang sebenarnya. Jika ada mana-mana pemimpin Pas lebih rela menyanjung DAP berbanding berbaik dengan UMNO, maka apa yang berlaku di Kedah harus dijadikan peringatan awal.

DAP sememangnya akan sentiasa tegas dengan pendirian dan tuntutannya. Mereka rela keluar daripada pakatan jika apa yang mereka mahukan tidak dipenuhi.

DAP lebih mementingkan survival politik mereka sebab itulah biarpun terpaksa bercakaran sesama rakan dalam pakatan mereka tidak peduli, apa yang penting, melalui tindakan yang dilakukan mereka akan mampu meraih sokongan politik.

Inilah perkara yang perlu disedari oleh Pas, sebab itulah ketegasan Azizan dalam menangani kerenah DAP di Kedah harus dipuji. Azizan ingin menunjukkan kepada DAP bahawa yang mempunyai kuasa dan pengaruh terbesar di Kedah ialah Pas bukannya parti pembangkang yang lain.

Pemimpin-pemimpin Pas yang lain harus membantu Azizan. Mereka tidak harus mengamalkan sikap berdiam diri sahaja apabila Azizan ‘diserang’ oleh DAP. Sepatutnya mereka menegur DAP supaya tidak bersikap keterlaluan.

Apa pun, arena politik di kawasan utara mula mencetuskan bahang, selain Kedah, Pulau Pinang juga bergolak dengan ‘pertembungan’ antara DAP dan PKR.

Ertinya, DAP kini sedang ‘bercakaran’ dengan dua rakannya dalam pakatan. Segala yang berlaku ada realiti bukannya diperbesarkan oleh media seperti mana dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Anwar boleh mendakwa apa sahaja mengenai isu di Kedah tetapi rakyat jelapang padi itu lebih mengetahui kedudukan sebenar berbanding beliau sendiri. Oleh itu janganlah hendak bersandiwara dalam semua isu!

0 comments: