Dari Wall Street ke penjara

Dari Wall Street ke penjara

Oleh Zulkiflee Bakar

SUASANA di salah sebuah ruang sidang Mahkamah Manhattan, New York pada Isnin lalu bergema dengan tepuk dan sorakan daripada mereka yang hadir.

Tindakan itu bukanlah bermaksud mereka meraikan pembebasan seseorang tetapi sebagai tanda gembira apabila Hakim Denny Chin menjatuhkan hukuman penjara 150 tahun ke atas Bernard Madoff, 71.

Madoff didapati bersalah oleh mahkamah kerana melakukan penipuan pelaburan yang dianggap terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat (AS). Tuduhan-tuduhan itu ialah penipuan sekuriti, penipuan nasihat pelaburan, penipuan pos, penipuan talian, pelaburan haram, kenyataan palsu, sumpah bohong, melakukan pemfailan palsu dengan Suruhanjaya Sekuriti dan mencuri dari pelan faedah pekerja.

Bagi Madoff, biarpun peguamnya cuba membantah hukuman itu tetapi bagi dirinya, segala kesakitan dan penderitaan yang dialami itu adalah rekaannya sendiri.

Ketika menjatuhkan hukuman Chin berkata, mahkamah perlu menghantar mesej yang jelas bahawa perbuatan jenayah Madoff adalah satu kejahatan luar biasa. Akibat perbuatan beliau mangsa-mangsa pelaburan itu mengalami kerugian lebih AS$13 bilion (RM49.4 bilion) - satu jumlah yang dianggap konservatif kerana ia tidak termasuk jumlah wang daripada penyumbang dana.

Sebelum keputusan diumumkan Madoff yang memakai sut hitam, berkemeja putih dan bertali leher, berdiri di meja defendan dengan wajah muram dan tidak memberikan sebarang reaksi sebaik sahaja hukuman dijatuhkan. Sememangnya reaksi Madoff itu sudah dijangka kerana ketika perbicaraan dijalankan, beliau juga tidak menunjukkan sebarang emosi apabila sembilan mangsanya memberikan keterangan.

''Kami hidup bagaikan dalam neraka. Ia seperti satu mimpi negeri yang kami tidak boleh bangun daripadanya. Dia mencuri daripada orang kaya, dia mencuri daripada orang miskin dan dia mencuri daripada semua orang, dia manusia yang tidak berguna. Dia melakukan penipuan itu bagi membolehkan, dia dan isterinya hidup mewah," kata Carla Hirshhorn dan Tom Fitzmaurice.

Apabila diminta oleh hakim untuk berkata sesuatu, Madoff yang mengambil masa selama 10 minit untuk bercakap, lebih banyak menganggap penipuan pelaburan yang dilakukan itu sebagai 'satu masalah', 'kesilapan penghakiman' dan 'kesalahan tragis'.

Sebelum mengakhiri kata-kata, Madoff menoleh ke belakang dan melihat ke arah semua mangsa yang hadir dan berkata, ''Saya minta maaf, walaupun saya tahu ia tidak akan membantu anda." Hukuman penjara yang diterimanya menambahkan lagi kesengsaraan Madoff yang sebelum ini sudah dianggap kehilangan segala-galanya apabila mahkamah mengarahkan kesemua hartanya bernilai AS$171 juta (RM649.8 juta) dirampas.

Ia termasuklah hartanah, pelaburan dan harta bernilai AS$80 juta (RM304 juta) yang didakwa oleh isterinya, Ruth Madoff miliknya. Arahan itu menyebabkan Ruth hanya memiliki AS$2.5 juta (RM9.5 juta) sahaja. Madoff juga diarahkan menjual sebuah pangsapuri bernilai AS$7 juta (RM26.6 juta) di Manhattan yang diduduki oleh Ruth, sebuah kawasan ladang di Palm.

Beach, Florida bernilai AS$11 juta (RM41.8 juta), sebuah rumah bernilai AS$4 juta (RM15.2 juta) di Montauk dan sebuah bot mewah bernilai AS$2.2 juta (RM8.36 juta).

Pembalasan ke atas Madoff bermula pada 12 Mac lalu apabila beliau mengaku bersalah atas 11 tuduhan jenayah menipu beribu-ribu pelabur melalui skim Ponzi.

Pendakwa raya menganggarkan kerugian para pelanggan termasuk keuntungan palsu bernilai hampir AS$65 bilion (RM247 bilion). Sebelum 'disahkan' sebagai penipu, Madoff merupakan seorang ahli perniagaan hebat melalui firma Bernard L. Madoff Investment Securities LLC di Wall Street yang ditubuhkan pada tahun 1960.

Reputasi dirinya telah membolehkan firma itu menjadi penggerak pasaran keenam terbesar di Wall Street.

Kelicikan

Dalam satu pengakuan kepada pihak berkuasa, Madoff mengakui firmanya menghadapi liabiliti sebanyak kira-kira AS$50 bilion (RM190 bilion)). Berdasarkan kepada jumlah dalam akaun yang dipegang oleh 4,800 pelanggan Madoff, pihak pendakwa menaikkan anggaran jumlah wang penipuan yang dilakukan oleh Madoff dari AS$50 bilion (RM190 bilion) kepada AS$64.8 bilion (RM246.24 bilion).

Namun kelicikan Madoff memperdayakan orang ramai ternyata tidak mampu bertahan lama, akhirnya pada 10 Disember 2008, beliau mengaku kepada anak-anaknya, Mark dan Andrew bahawa bahagian pengurusan aset firmanya merupakan suatu skim Ponzi yang besar, dalam erti kata lain "satu penipuan yang besar."

Berikutan pengakuan itu, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) menahan Madoff dan semua hartanya dibekukan. Walaupun Madoff mengaku, perbuatan itu dilakukannya seorang diri, namun ia menimbulkan keraguan di kalangan sebilangan pelabur, wartawan dan pakar ekonomi.

Madoff pernah menjadi seorang dermawan yang menduduki lembaga pengurusan di beberapa pertubuhan tanpa untung, yang kebanyakannya pernah mengamanahkan pembiayaan kewangan kepada firmanya. Beliau merupakan bekas Bendahari Kebangsaan Kongres Yahudi Amerika.

Kejatuhan dan pembekuan aset-aset peribadi dan firmanya telah meninggalkan kesan dalam perniagaan, pertubuhan amal dan yayasan seluruh dunia, termasuk Yayasan Amal Robert I. Lappin, Yayasan Picower, dan Yayasan JEHT.

Kini daripada seorang yang kaya raya dan hidup dalam kemewahan, Madoff akan menghabiskan sisa-sisa kehidupan sebagai banduan bernombor 61727-054 di Metropolitan Correctional Center, New York.

Di penjara berkenaan, Madoff mungkin akan berkesempatan 'berkenalan' dengan suspek pengganas, Ahmed Khalfan Ghailani yang dipindahkan dari Guantanamo Bay bagi menghadiri tuduhan jenayah.

Sememangnya Madoff dan Ahmed Khalfan mempunyai kesalahan yang berbeza tetapi kedua-duanya menyentuh soal memusnahkan kehidupan orang lain.

Berdasarkan usianya, Madoff mungkin tidak akan hidup lama tetapi apa yang pasti sejarah penipuan yang dilakukannya akan tercatat dalam lipatan sejarah bukan sahaja di AS tetapi juga di dunia.

0 comments: