Usah pisah pendidikan berasas kaum, agama

IPOH 27 Okt. – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah, dasar dan pelaksanaan agenda pelajaran negara ini perlu meletakkan isu hubungan agama dan kaum sebagai komponen yang penting dalam bidang pendidikan.

Titah baginda, untuk itu, amatlah tidak sesuai bagi sesebuah negara yang terdiri dari pelbagai agama dan kaum mendidik warganya secara berasingan.

``Ini kerana adalah penting untuk setiap warga dipupuk dan dibentuk melalui sistem pendidikan yang sama.

``Untuk itu kepentingan nasional dan kepentingan negara perlulah diberi keutamaan mengatasi kepentingan kelompok,” titah baginda semasa di majlis sambutan Jubli Emas Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR) di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Permaisuri Perak Tuanku Bainun.

Turut hadir Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang juga Presiden Persatuan Bekas Penuntut Star (Staroba) dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh.

Baginda bertitah, adalah lebih memanfaatkan negara jika komposisi pelajar di sekolah asrama penuh dapat mencerminkan masyarakat Malaysia yang lebih menyeluruh.

Titah baginda, warga muda di negara ini harus didedah dan dididik untuk saling memahami, menghormati dan bekerjasama antara satu sama lain mulai peringkat usia muda lagi.

Menurut baginda, melalui peluang tinggal bersama, bermain bersama dan belajar bersama warga muda dapat melihat diri mereka pertama, sebagai warga Malaysia di sebuah negara merdeka dan komponen kaum akan menjadi elemen kedua yang kurang penting.

‘‘Peranan komprehensif sedemikian wajib dipenuhi oleh institusi sekolah. Sekolah yang menumpukan perhatian di bidang akademik semata-mata sebenarnya hanya memenuhi separuh dari peranannya.

‘‘Peranan sekolah adalah lebih menyeluruh dan menjadi lebih kritikal bagi sekolah berasrama penuh kerana di peringkat usia formatif, para pelajar berada di alam sekolah sepenuh masa,” titah baginda.

Oleh yang demikian titah Sultan Azlan Shah, fungsi sekolah bukan sahaja ibarat sebuah kilang untuk mengeluarkan produk berkelulusan akademik malah menjadi tapak sesuai untuk mengembangkan bakat kepimpinan, seni dan sukan serta menjadi tapak untuk membina hubungan semasa manusia.

Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR) ditubuhkan pada tahun 1957 pada tahun negara mencapai kemerdekaan dan Yang Dipertuan Agong pertama, Tunku Abdul Rahman telah memberi perkenan supaya sekolah ini dinamakan dengan namanya.

0 comments: