Kedah naikkan gaji 15 peratus

Oleh Johari Ibrahim





BERBALOI bagi pasukan Kedah yang memenangi tiga piala dalam Liga Malaysia musim lalu apabila setiap pemain masing-masing menerima kenaikan gaji sehingga 15 peratus bagi kontrak musim depan.


Pengurus Kedah, Datuk Othman Aziz, berkata 20 pemain tempatan yang menandatangani kontrak di Jitra, Kedah semalam menerima kenaikan itu, sekaligus membolehkan mereka membawa pulang gaji antara RM6,000 hingga RM11,000 sebulan.

Kenaikan gaji pemain Kedah itu menyebabkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) menanggung kos pembayaran gaji sehingga RM260,000 sebulan bagi musim depan.

“Kita akan berusaha menunaikan tanggungjawab itu (membayar gaji), mereka hanya perlu bermain bersungguh-sungguh,” katanya.

Tiga lagi pemain import Kedah yang dikekalkan, dijangka menerima kadar kenaikan yang sama dan akan menandatangani kontrak awal bulan depan kerana masih bercuti di negara masing-masing.

Pemain Hijau Kuning menandatangani kontrak dengan KFA sempena rumah terbuka Othman di Bandar Darulaman, Jitra, semalam, sambil disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Othman berkata, kenaikan itu wajar memandangkan moral dan semangat pemain tinggi selepas menjuarai tiga piala musim lalu, Piala Liga, Piala Super dan Piala Malaysia.

KFA berbelanja sebanyak RM5.7 juta pada musim 2006/07 dan bertambah RM6 juta bagi musim 2007/08.

“Saya juga ingin tegaskan sebagai tambahan kepada kontrak bahawa pembayaran bonus adalah budi bicara KFA berdasarkan prestasi sepanjang musim dan jumlahnya tidak sama antara satu sama lain,” katanya menjelaskan kadar perbezaan yang diterima pemain sebelum ini.

Dalam pada itu, Kedah kini bersiap sedia menghadapi musim baru bermula perlawanan sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah menentang Perlis, 18 November depan, dengan tiga perlawanan persahabatan iaitu dengan Polis (31 Oktober), Pulau Pinang (4 November) dan Selangor (11 November).

0 comments: