SEREMBAN 27 Okt. – Penerokaan semula minda perlu bagi membawa anjakan baru yang lebih radikal dan revolusi dalam membina jati diri ekonomi yang lebih kukuh, sekali gus bersedia untuk menghadapi cabaran dan masa depan lebih berjaya dalam industri pertanian.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, banyak telah diperkatakan mengenai kedudukan ekonomi orang Melayu terutama dalam sektor pertanian, termasuk mengenai cabaran yang dihadapi dalam usaha untuk meningkat taraf hidup khususnya di kalangan orang Melayu di luar bandar.
Atas sebab itu, katanya, meskipun 80 peratus orang Melayu terlibat sebagai petani dan nelayan, mereka masih belum mampu menguasai perdagangan perniagaan dan rantaian penawaran yang setimpal dengan sumbangan mereka sebagai pengeluar pertanian.
“Melayu sudah lama menjadi petani, nelayan dan penternak, namun nilai penguasaan Melayu dalam bidang ini seakan terhenti di pagar ladang saja.
Yang selebihnya tidak dikuasai orang Melayu. Nilai ditambah agak amat terbatas,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pembukaan Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 anjuran Biro Pertanian UMNO dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Muhyiddin yang juga Pengerusi Biro Pertanian UMNO berkata, aktiviti pertanian di luar kawasan ladang pada masa ini dikuasai oleh kaum lain dan ia menunjukkan orang Melayu tidak mampu bersaing dalam perniagaan pertanian.
Justeru, beliau menyeru orang Melayu bermuhasabah untuk mengubah minda bagi membawa anjakan baru yang lebih radikal supaya mereka mampu membina jati diri ekonomi yang lebih kukuh dan bersedia menghadapi cabaran akan datang.
0 comments:
Post a Comment