Majlis 'khatam hadhari' anjuran Umno jauh menyimpang

Awang Harun
Sun | Oct 28, 07 | 7:49:13 am MYT

KUALA TERENGGANU, 28 Okt (Hrkh) - PAS menyifatkan 2010 orang kanak-kanak tadika Yayasan Islam Terengganu yang terlibat dengan Majlis Khatam al-Quran anjuran kerajaan negeri sebagai 'khatam hadhari' serta 'menyimpang' dari kehendak Islam sebenar.

Program Pintar Al-Quran itu yang kini masuk tahun kedua merupakan agenda propaganda bagi mendapatkan sokongan politik Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato' Abu Bakar Chik berkata program tersebut bermula tahun 2006 kononnya telah melepasi sasaran seramai 937 orang kanak-kanak khatam al-Quran berbanding angka sasarannya 700 orang.

Menurutnya, pencapaian kanak-kanak tersebut amat luar biasa serta meragukan kerana tidak mengikut kaedah Islam sebenar.

"Pencapaian kanak-kanak yang khatam ini sangat luar biasa dan tidak masuk akal dan terdapat dua persoalan besar yang menjadikan kenyataan khatam al-Quran seramai 2010 itu sesuatu yang meragukan," ujarnya pada sidang media di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, dekat sini, baru-baru ini.

Pertama, katanya idea asal khatam al-Quran yang disarankan Perdana Menteri adalah bagi pelajar sekolah rendah.

Menurut Dato' Abu Bakar, PM dalam ucapannya kepada para ulama dan pegawai ugama pada 24 September 2003 mensasarkan khatam al-Quran kepada pelajar-pelajar tahun satu hingga enam (kumpulan pelajar J-QAF).

Walau bagaimanapun, katanya saranan PM itu tidak dapat dicapai sehingga kini kerana masalah tenaga pengajar dan sebagainya.

"Adalah tidak munasabah, apa yang dicapai di Terengganu oleh kanak-kanak pada tahap umur empat, lima dan enam tahun berbanding dengan pelajar J-QAF", ujarnya.

Kedua, katanya takrif khatam al-Quran kerajaan Terengganu jauh 'menyimpang' dari amalan para guru al-Quran.

Menurutnya, maksud khatam al-Quran yang telah menjadi amalan masyarakat Islam dari dahulu hingga kini adalah membaca secara bertalaqqi dan bermusafahah secara berdepan dengan guru, mengikut guru dan membaca sebutan huruf dan tajwid asas dengan betul hingga berupaya membaca 30 juzuk secara bersendirian.

Sebenarnya, kata beliau hanya sedikit sahaja dari jumlah 2010 kanak-kanak yang dikatakan telah khatam itu berupaya membaca sepenuhnya.

Menurutnya, kenyataan-kenyataan yang diambil dari ibu bapa kanak-kanak tersebut mengakui bahawa anak-anak mereka belum boleh membaca al-Quran malahan hanya baru di peringkat Iqra sahaja.

Tambahnya lagi, guru-guru yang bertugas di pusat-pusat pra-sekolah berkaitan juga membuat pengakuan bahawa kanak-kanak di bawah jagaan mereka sebenarnya belum boleh membaca al-Quran seperti yang sepatutnya.

"Jadi sebenarnya, bagi kita (PAS) bukan khatam al-Quran tetapi hanya layak dipanggil khatam hadhari sahaja.

"Sebab, kita mempunyai bukti-bukti berasas bahawa kaedah khatam al-Quran yang dibuat oleh kerajaan negeri bersifat pembohongan kepada rakyat," ujarnya.

Pada 29 September 2007 lalu, seramai 2010 orang kanak-kanak tadika diraikan dalam satu majlis khatam al-Quran yang terdiri dari 1153 orang kanak-kanak tadika Yayasan Islam Terengganu, Kemas (755) orang dan Jabatan Pendidiakan Negeri Terengganu (102) orang di Dewan Sultan Mizan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). - mks.

0 comments: