Kikis mentaliti ‘goreng pisang’ – PM

Oleh: TARMIZI ABDUL RAHIM


ABDULLAH Ahmad Badawi sambil diperhatikan Mohamad Hasan (kiri) dan Muhyiddin Mohd. Yassin menyiram pokok bunga raya sebagai tanda perasmian Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 di Seremban, semalam. – Bernama.

SEREMBAN 27 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu orang Melayu mengikis mentaliti ‘goreng pisang’ yang hanya meniru apa orang lain buat tanpa berusaha untuk menjadi yang terbaik dan berdaya saing.

Tegas Perdana Menteri, orang Melayu bukannya malas tetapi sudah menjadi tabiat apabila melihat sesuatu yang memberi untung mereka akan cuba membuat dan meniru tanpa mencuba untuk mencipta peluang baru.

“Inilah yang dikatakan mentaliti goreng pisang. Bila lihat orang jual goreng pisang dapat untung maka semua sekali pakat nak jual goreng pisang.

“Bila dia lihat Che Mah jual goreng pisang laku, lepas tu dia pun bertenggek di tepi dan orang lain pula yang lihat ada peluang maka dia pula tumpang sekaki.

“Memang baik dapat untung tapi dia tidak nampak apabila banyak bekalan dan permintaan semakin berkurangan maka jatuhlah harganya,” katanya dalam ucapan merasmikan Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Konvensyen tersebut dianjurkan oleh Biro Pertanian UMNO dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Abdullah yang juga Presiden UMNO berkata, bukan niatnya untuk merendah dan memperlecehkan orang Melayu tetapi inilah perkara yang sering berlegar dalam fikirannya dan amat menyedihkan.

“Orang Melayu dan umat Islam malas berusaha daripada sekian banyak nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita dan ini situasi yang ada pada hari ini.

“Inilah masanya untuk kita lihat kembali dan buktikan bahawa pertanian mempunyai kekayaan, nikmat dan potensi begitu banyak tapi kerana kurang usaha maka ia akan jadi tak berguna.

Abdullah juga berkata, sejak kementerian itu diterajui oleh Muhyiddin, banyak perubahan telah dilakukan dan sebab itulah kerajaan memberikan peruntukan yang besar sebanyak RM7 bilion dalam RMK-9 supaya pertanian ini dapat diperkasakan.

"Hari ini saya tengok sudah ada keghairahan untuk jadi pengilang, walaupun kecil... tapi yang penting kita sudah ada gelombang perubahan," kata beliau.

0 comments: