Lawatan Benazir di selatan Pakistan dikawal ketat

GARHI KHUDA BAKSH: Beribu-ribu penyokong menyambut ketibaan bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto di kubu kuatnya di selatan Pakistan semalam yang menjadi kunjungan pertamanya ke luar Karachi selepas serangan bunuh diri yang meragut 139 nyawa, minggu lalu.

Kira-kira 4,000 penyokong Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang melaungkan 'Hidup Bhutto' bersorak dan bertepuk tangan ketika Benazir tiba dengan kenderaan kalis peluru di makam ayahnya di kampung kelahiran keluarga beliau di Garhi Khuda Baksh, berhampiran Larkana di wilayah Sindh.

Sambil berdiri di belakang setiausahanya, Benazir turut melambaikan tangan kepada penyokong yang dihalang mendekati kenderaan beliau oleh anggota keselamatan bersenjatakan AK-47.


Sebuah gambar besar Benazir dilihat tergantung di sebuah kerangka keluli, manakala bendera PPP berwarna merah, hijau dan hitam dikibarkan ketika konvoi Benazir meneruskan perjalanan.

Stesen televisyen menyiarkan gambar Benazir yang berselendang, membaca doa dan ayat suci al-Quran dan menaburkan kelopak bunga bunga mawar di pusara ayahnya Zulfikar Ali Bhutto, perdana menteri pertama pilihan rakyat yang digulingkan tentera pada 1977 dan kemudian dijatuhi hukuman gantung sampai mati.

"Sudah lama saya tidak datang ke sini dan saya bersyukur kepada Tuhan kerana memberi peluang kepada saya untuk menjejakkan kaki di tanah air semula untuk melihat kasih sayang rakyat negara ini.


"Inilah antara beberapa faktor yang menyemarakkan semangat saya untuk melakukan segala yang terdaya bagi memulihkan demokrasi di Paksitan kerana ia amat penting untuk kesejahteraan dan masa depan rakyat Pakistan," kata Benazir sebelum pesawatnya mendarat di bandaraya Sukkur.

Sementara itu, kumpulan militan menculik dan memenggal empat pegawai keselamatan Pakistan selepas tentera kerajaan bertempur dengan penyokong seorang ulama pro Taliban di barat laut negara itu semalam, kata seorang pegawai kanan tentera.

Keempat-empat mereka diculik ketika membeli-belah di sebuah bazar di Matta di pinggir Swat oleh anggota militan tidak dikenali yang kemudian mempamerkan mayat mereka di perkampungan itu, walaupun maklumat berkenaan belum dapat disahkan.

Pertempuran sengit berlaku di Lembah Swat di wilayah sempadan barat laut kelmarin, antara tentera kerajaan dan militan yang setia kepada ulama berpendirian keras itu.

"Militan kemudian menculik pegawai keselamatan berkenaan dan memenggal mereka di hadapan penduduk kampung berhampiran Matta," kata setiausaha wilayah Badshah Gul Wazir. - AFP/Reuters

0 comments: