Mangsa kebakaran bermasalah mental

SAN DIEGO, California 27 Okt. – Pakar-pakar kesihatan mental dihantar ke selatan California untuk membantu mangsa-mangsa kebakaran yang bergelut dengan masalah kemurungan dan juga kerugian besar akibat tragedi terburuk dalam sejarah negara ini.

Kebakaran itu telah memusnahkan 1,800 buah rumah dan meragut tujuh nyawa serta mengakibatkan beratus ribu penduduk terpaksa dipindahkan.

Walaupun pihak bomba telah berjaya mengawal api daripada terus merebak, pakar yakin bencana itu akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap mental para mangsa.

“Setiap penduduk di sini mengalami kesan daripada bencana itu,” kata juru cakap Bomba San Diego, Daran Osborne.

Katanya pihaknya kini sedang berusaha memulihkan keadaan menjadi seperti biasa.

“Namun terlebih dahulu bagi mereka yang kehilangan tempat tinggal kita harus memastikan keluarga mereka selamat dan harus memahami bahawa mereka mempunyai kewangan yang cukup,” tegasnya.

Menurut penasihat Palang Merah di sini, Karen Hoganson, kebanyakan mangsa mengalami tekanan perasaan, sedih yang teramat sangat, marah dan juga kecewa.

“Mereka merasa kesunyian ketika ini kerana hanya rumah kediaman sahaja harta yang mereka ada sebelum ini,” katanya sambil berkata, 75 orang kaunselor psikologi sedang dalam perjalanan ke sini.

Hoganson kini menumpukan segala usahanya untuk memastikan semua mangsa mendapat keperluan asas yang cukup serta tahu di mana mahu mendapatkan bantuan.

“Mereka perlu dipimpin. Kaunseling memang penting tapi bukanlah keutamaan ketika ini kerana apa yang harus didahulukan adalah campur tangan kita bagi membantu mereka,” ujarnya.

– AFP

0 comments: