Petani kena buat anjakan baru

Oleh Ahmad Naim Tahir, Saufi Hamzah dan Hussain Said



SEREMBAN: Orang Melayu khususnya yang terbabit dalam industri pertanian disaran meneroka minda bagi membawa anjakan baru yang lebih radikal untuk membina jati diri ekonomi yang lebih kukuh dan berdaya saing dalam industri itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata terlalu banyak yang diperkatakan mengenai kedudukan ekonomi orang Melayu terutama dalam sektor pertanian, termasuk cabaran yang dihadapi dalam meningkatkan taraf hidup, khususnya di luar bandar.


Beliau berkata, 80 peratus orang Melayu adalah masyarakat peladang dan nelayan, namun mereka masih belum mampu menguasai perdagangan perniagaan dan rantaian penawaran yang setimpal dengan sumbangan mereka dalam industri itu.

"Melayu sudah lama menjadi petani, nelayan dan penternak, tetapi nilai penguasaan dalam bidang ini seakan terhenti di pagar ladang saja. Yang selebihnya tidak dikuasai orang Melayu. Nilai ditambah agak terbatas," katanya.

Muhyiddin berucap pada majlis perasmian Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007, di sini semalam yang disempurnakan Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


Konvensyen bertemakan ‘Melayu dalam Pertanian: Dulu, Kini dan Akan Datang’ itu dihadiri kira-kira 1,200 peserta daripada ahli dan pemimpin Umno, wakil badan korporat dan akademik dari seluruh negara.

Muhyiddin yang juga Naib Presiden dan Pengerusi Biro Pertanian Umno berkata, kerajaan amat serius dan meletakkan harapan tinggi agar orang Melayu merebut peluang yang disediakan supaya mampu bersaing di persada antarabangsa, seterusnya menjadi model petani moden yang berani, sofistikated dan tidak mengalah.

"Dalam kita meyakini bahawa peranan pemerintah penting untuk membawa perubahan kepada nasib petani, tidakkah sudah sampai masanya kita bermuhasabah diri untuk meneroka semula minda bagi membawa anjakan baru dalam ekonomi.

"Fokus dan bajet yang besar diperuntukkan kerajaan saja tidak mencukupi dan belum dapat menjamin masa depan yang cerah jika tidak disertai anjakan minda dan kesungguhan untuk mengubah nasib diri serta bangsa," katanya.

Beliau turut berharap konvensyen itu menjadi landasan terbaik dalam mencetuskan idea yang bernas dan konkrit, sekali gus menyumbang kepada usaha pimpinan parti dan kerajaan dalam memperkasakan bidang pertanian.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, selaku Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen, mahu falsafah berbudi kepada tanah dijadikan tonggak kepada perjuangan orang Melayu dalam merevolusikan sektor itu menjadi moden dan berdaya maju.

"Pertanian hari ini bukan pertanian zaman datuk nenek moyang kita dulu. Teknologi dan hasil kajian saintifik sudah berubah dan kerajaan mahu setiap rakyat amnya dan orang Melayu khususnya memainkan peranan penting meletakkan pertanian dan asas tani setanding negara lain di dunia," katanya.

Beliau yakin dengan tumpuan khusus yang diberikan kerajaan dalam bidang pertanian, negara akan melahirkan petani moden yang berjaya dan seterusnya mengangkat martabat di arena antarabangsa dan setanding negara moden seperti Jepun, Taiwan dan Amerika Syarikat.

"Saya membuat kesimpulan... bagaimana tinggi sekali pun kejayaan kita sebagai sebuah negara, sektor pertanian dan asas tani akan tetap mendapat tumpuan dan perhatian daripada pucuk pimpinan negara,” katanya.

0 comments: