Tubuh koperasi agro -- Rintis para petani bina kilang tingkatkan nilai hasil pengeluaran – PM

Oleh: AINOL AMRIZ ISMAIL dan LAUPA JUNUS

SEREMBAN 27 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahukan golongan petani di seluruh negara menubuhkan koperasi berasaskan pertanian atau agro bagi menjamin masa depan mereka.

Perdana Menteri berkata, melalui koperasi itu ia akan dapat merintis usaha ke arah pembinaan kilang yang dapat mempertingkatkan lagi nilai hasil pertanian.

Beliau berkata dengan adanya koperasi agro itu, para petani boleh mempelbagaikan hasil pengeluaran dan menggunakan lebihan pengeluaran bagi memberikan pulangan lebih lumayan.

“Jika koperasi ini tidak diwujudkan, maka golongan petani tidak ada peluang lagi untuk menambah pendapatan pada masa hadapan.

“Mereka perlu mempunyai nilai tambah dan berusaha membuat produk daripada hasil pertanian atau hasil kebun.

“Tetapi hari ini, petani tidak ramai yang terlibat. Jadi untuk itu kita harus beri mereka peluang dan terlibat sama. Caranya ialah dengan adanya koperasi,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 di sini, hari ini.

Konvensyen dua hari itu bertemakan “Melayu Dalam Pertanian: Dulu, Kini dan Akan Datang”, dihadiri 1,000 peserta dengan majoriti pemimpin UMNO bahagian bagi mengupas isu dan permasalahan orang Melayu dalam pertanian supaya mempunyai perspektif yang lebih luas dalam bidang itu.

Ia dianjurkan Biro Pertanian UMNO dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menjadi tuan rumahnya bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Lagi pula kata Perdana Menteri, jika petani itu bergerak secara individu, mereka tidak akan memperoleh apa-apa.

“Apa dia dapat, nak suruh mereka beli saham? Banyak manalah yang mereka mampu. Tetapi atas nama koperasi, kita akan lihat perubahan ini. Seperti Pertubuhan Peladang, mereka sudah terbukti berjaya.

“Jadi, kita hendak buat besar-besaran. Kita perlu fokus kepada satu. Wujudkan koperasi ini di kawasan terpencil supaya industri ini dapat tumbuh dengan baik. Buatlah di mana ada produk pertanian yang boleh diperoleh,” ujar beliau.

Abdullah yang juga Presiden UMNO berkata agensi di bawah kementerian terbabit akan memberikan bantuan kepada para petani untuk membangunkan kilang secara koperasi dalam usaha membantu mereka menambah nilai hasil pengeluaran.

Beliau berkata hasil pertanian sebagai makanan segar patut dijual setakat yang mampu supaya harga tidak turun.

Dalam pada itu, Abdullah memberitahu, mana-mana kawasan kebun yang kecil khususnya sawah padi perlu digabung supaya kerja-kerja menggunakan jentera besar dapat dilakukan dengan lebih komersial.

“Lebih mudah hendak kita usahakan. Hasilnya pun boleh diperoleh dengan cepat. Mana-mana plot yang kecil kita gabungkan. Tidaklah nanti ada tanah terbiar yang tidak diusahakan,” kata beliau.

0 comments: