Melayu perlu jadi "kiasu" untuk berjaya - Ungku Aziz

SEREMBAN 28 Okt. - Orang Melayu perlu mempunyai sifat “kiasu”, iaitu sentiasa mahu menjadi nombor satu atau yang terbaik dalam apa jua bidang yang mereka ceburi, kata pakar ekonomi dan cendekiawan negara, Prof Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun sifat “kiasu”, perkataan Hokkien yang bermakna

“terlalu takut untuk kalah” mempunyai kebaikan dan keburukannya, dan orang Melayu perlu mengambil aspek keberaniannya dalam berusaha mencapai kecemerlangan dalam kehidupan mereka.

Sifat “kiasu” itu adalah antara tujuh kebaikan yang perlu dimiliki orang Melayu untuk berjaya yang digariskannya pada Forum Khas Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 yang bertemakan “Melayu Dalam Pertanian: Dulu, Kini dan Akan Datang” di sini hari ini.

Konvensyen dua hari mulai semalam, dianjurkan bersama oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Biro Pertanian UMNO Malaysia dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan.

Ia bertujuan mencetus kesedaran di kalangan anggota UMNO khususnya, mengenai pentingnya industri pertanian terhadap ekonomi orang Melayu.

Ungku Aziz berkata, orang Melayu juga perlu mempunyai sikap berani serta berani menanggung risiko, selain sifat “siddique” yang bermakna “berkata benar” serta beramanah, telus dan mempunyai sifat ingin tahu.

Beliau berkata, sebelum zaman penjajahan, orang Melayu terkenal sebagai pedagang di rantau ini berikutan keberanian mereka mengembara menjaja barangan dagangan di peringkat antarabangsa serta berani mengambil risiko.

Malangnya, dengan kedatangan British, orang Melayu telah ditindas dan minda serta pemikiran mereka dipengaruhi secara halus menyebabkan sehingga kini masih tidak mampu bangkit untuk mencapai kecemerlangan zaman Kesultanan Melayu, katanya.

Bagaimanapun beliau yakin orang Melayu, terutama yang terlibat dalam bidang usahawan akan menggubah sikap mereka secara automatik dengan lebih menitikberatkan ilmu dan sentiasa berusaha bagi memajukan diri kerana wujudnya sikap “ingin tahu” untuk membangun dan memperluas bidang yang mereka ceburi.

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucaptamanya pagi ini turut menyentuh mengenai pentingnya orang Melayu mempunyai sikap “kiasu”.

“Kita kena fikirkan, cari jalan dan kaedah, bagaimana kita boleh ubah minda dan fikiran orang Melayu terhadap diri mereka sendiri dan persekitarnnya supaya mereka boleh jadi kiasu, aktif, gila kerja, tak suka duduk diam, sungguh-sungguh, setia, bertanggungjawab, cinta serta sayangkan bangsa dan agamanya,” katanya.

Naib Presiden UMNO itu berkata: “Kita perlu membentuk satu pandangan hidup orang Melayu, memperbetulkan `world view’ mereka dengan cara yang baru dan konkrit, sistematik dan praktikal.”

Beliau yang tidak menafikan kerajinan orang Melayu bagaimanapun berkata, usaha perlu dilakukan bagi menjadikan mereka lebih rajin, serius dan bersungguh dalam kerjaya.

“Orang Melayu memang mahu jadi kaya, tapi mahu ambil jalan yang mudah dan cepat, takut mengambil risiko dan hanya melakukan pelaburan yang paling minimum.

“Mereka suka membina dunia fantasi, dibuai dengan membayangkan yang indah-indah dan seronok-seronok, tetapi hakikatnya mereka tidak serius dan bersungguh melakukan kerja dan tugasan,” katanya.

Muhyiddin berkata, akhirnya orang Melayu menjadi bangsa yang lemah, tidak berani, tidak agresif untuk mencapai kejayaan sehingga timbul cerita seperti `Angan-Angan Mat Jenin’, iaitu jenaka yang menghina bangsanya sendiri.

Beliau berkata, orang Melayu secara relatifnya masih rendah dari segi produktiviti, malah lebih rendah daripada pendatang tanpa izin walaupun mereka tidak ada kemahiran.

“Adakah ini akibat penjajahan yang begitu lama, hampir lebih 500 tahun menyebabkan minda orang Melayu beku dan statik bagaikan tanah yang tidak berbaja dan tidak ditimpa hujan sehingga tanah menjadi gersang dan me"layu”?" katanya.

- Bernama

0 comments: