Gul 'pulas telinga' AS, Iraq

Oleh Azman Abdul Hamid

Washington, Baghdad tunduk kehendak Ankara demi jaga imej

Pertikaian Turki dengan gerila pemberontak Kurdis memberi peluang kepada Presiden Abdullah Gul menjadi wira di mata rakyat, hampir tiga bulan selepas dilantik memegang jawatan itu.

Ia berbeza dengan keadaan sebelum beliau dipilih sebagai presiden apabila kebanyakan persoalan mempertikaikan personalitinya sebagai pemimpin Islam serta sedikit sebanyak bukan calon pilihan tentera.


Ini secara tidak langsung ada kaitan dengan resolusi yang diluluskan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Dewan Perwakilan Amerika pada 10 Oktober lalu iaitu mengkategorikan pembunuhan etnik Armenia oleh tentera Turki pada 1915 sebagai pembunuhan beramai-ramai.

Pentadbiran Gul membantah resolusi itu dan memanggil pulang dutanya di Washington.

Pada ketika ini, masyarakat antarabangsa memberi tumpuan kepada perkembangan di sempadan utara Iraq khususnya reaksi Turki kepada serangan gerila Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang mengorbankan 12 askar baru-baru ini.


Kebanyakan laporan memberi perhatian kepada tindak balas Ankara terhadap pembunuhan askarnya.

Ia bermula dengan keputusan Parlimen Turki membenarkan tenteramelakukan serangan di utara Iraq untuk menangani ancaman PKK.

Ketika ini, sekurang-kurangnya 100,000 askar Turki berada di sempadannya dengan Iraq dan Ankara dilaporkan memperkukuh kekuatannya dengan menambah persenjataannya dan anggota tenteranya di sepanjang kawasan itu.

Sekurang-kurangnya 60 pemberontak Kurdis juga terbunuh dalam operasi balas tentera Turki.

Selain mendapat lampu hijau Parlimen, protes rakyat Turki terhadap 'keganasan' PKK mengizinkan Gul mengarahkan tentera melancarkan serangan balas.

Profil Gul membanggakan penduduk Turki jika membaca laporan akhbar The Telegraph, Jumaat lalu, bertajuk The Turkish troops inside Iraq.

Laporan itu mendedahkan operasi tentera Turki untuk menawan kubu pemberontak Kurdis di utara Iraq sudah bermula kerana askar Ankara berkubu sekurang-kurangnya 19 kilometer dalam wilayah utara Iraq.

"Kehadiran mereka diterima pasukan 'peshmerga' (militia Kurdis-Iraq) yang membina kubu bersama dengan askar Turki dan mengibarkan bendera Kurdis di sebelah bendera Turki.

"Tentera Turki berada di utara sejak 10 tahun lalu dengan memiliki empat markas besar di atas bukit. Mereka dijemput oleh panglima peshmerga bagi membantu menyelesaikan pelbagai isu masalah dalaman Kurdis pada 1990-an. Sejak itu, mereka terus ada di situ.

"Di markas Bambarneh, askar Turki mempunyai enam kereta kebal, dua meriam besar dan banyak trak tentera. Beberapa kilometer dari situ adalah markas Baroukh. Di markas Gerisor, bendera Turki dikibarkan di kubu atas bukit."

Tambah membanggakan ialah kelantangan Gul menolak gesaan Amerika berhubung kemungkinan Turki melancarkan serangan besar-besaran di utara Iraq.

Rabu lalu, Setiausaha Negara Amerika, Condoleezza Rice berkata: "Kami bimbang dengan pertempuran berterusan (di utara Iraq) dan serangan PKK terhadap Turki.

"Kami menggesa mereka berhati-hati kerana Iraq dan Turki setuju berkongsi masalah dan sama-sama memusuhi PKK. Kami tidak nampak sebarang operasi besar tentera akan membantu.

"Kami sudah beritahu Turki bahawa operasi besar akan menyebabkan ketidakstabilan. Kami sokong kerjasama Iraq-Turki)."

Gul, bagaimanapun menegaskan, Turki akan meneruskan tindakan melindungi kepentingannya di sempadan dengan Iraq.

0 comments: