Polis siasat dakwaan Rekha

GEORGETOWN: Polis dalam proses menentukan kesahihan cerita Rekha Abdullah, 10, yang mendakwa diculik oleh seorang wanita sebelum dibawa ke sebuah flet di Farlim, Air Itam di sini, Isnin lalu.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah negeri, Datuk Abdul Samah Mat, berkata pihaknya sedang menyiasat sama ada budak itu diculik atau lari dari rumah hingga kehilangannya mendapat perhatian meluas media.

Beliau berkata, polis juga menyiasat wanita yang didakwa Rekha membawanya ke rumah pangsa berkenaan.


“Kami masih mencari wanita itu dan hingga kini masih belum membuat tangkapan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Island di sini, hilang selepas keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Kampung Kolam di sini, untuk membeli video cakera padat (VCD), Isnin lalu.

Rekha yang dikatakan membawa wang RM5, tidak pulang sehingga jam 12 tengah malam, yang menyebabkan bapa tirinya, Ahamad Omar, 49, serta ibunya, Salmah Selllamah Abdullah, 41, membuat laporan polis.


Rekha mendakwa dia dibawa oleh seorang wanita ke sebuah rumah di Farlim dan dikurung di situ sebelum dibebaskan apabila kehilangannya mendapat liputan meluas media.

Kanak-kanak itu masih ditempatkan di Hospital Pulau Pinang untuk pemerhatian pakar perubatan dan dijangka dibenarkan pulang hari ini atau esok.

Sementara itu, Ahamad berkata, doktor masih memeriksa kesihatan anaknya.

“Mungkin anak saya dibenarkan keluar hospital secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi.

0 comments: