Siti Nadzirah dapat peluk anak lepaskan rindu


SITI Nadzirah mendukung anaknya, Arman Khan Fazal Azim di Islamabad, Pakistan, semalam.

KUALA LUMPUR 27 Okt. – Hasrat ibu muda, Siti Nadzirah Mohd. Nasir, 20, untuk bertemu dan memeluk anak kandungnya yang terpisah sejak lebih tiga bulan lalu tercapai hari ini, meskipun hanya diberi peluang selama enam jam untuk berbuat demikian.

Ini kerana Siti Nadzirah yang juga seorang kerani pentadbiran di sebuah syarikat swasta di ibu negara tidak berpeluang berbuat demikian sejak anaknya, Arman Khan Fazal Azim, 11 bulan, dijaga oleh suaminya di Peshawar, Pakistan.

Dia yang sanggup pergi ke Pakistan bersama ibunya bagi mendapatkan hak penjagaan ke atas bayi itu 19 Oktober lalu, hari ini lega apabila dapat bertemu semula dengan Arman Khan walaupun dalam masa yang singkat.

Siti Nadzirah ketika dihubungi Mingguan Malaysia di Islamabad, Pakistan hari ini berkata, peluang itu dianggap sebagai satu rahmat.

Pada 23 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Peshawar, Pakistan yang sepatutnya mengumumkan keputusan mengenai hak penjagaan ke atas anak Siti Nadzirah, membuat keputusan menyerahkan bayi itu kepada bapanya atas alasan bayi itu tidak mengenali ibunya.

Hakim tersebut mengeluarkan arahan itu dengan alasan bayi yang sudah lebih tiga bulan tidak bertemu dengan ibunya itu menangis ketika didukung selama 20 minit.

Siti Nadzirah yang terkejut dengan keputusan hakim tempoh hari telah merayu supaya dia diberi masa yang lebih lama untuk bersama anaknya.

Justeru, hakim memerintahkan suami Siti Nadzirah menyerahkan Arman Khan kepadanya hari ini untuk bermesra dan mengembalikan ingatan bayi itu terhadapnya sebelum perbicaraan semula Selasa ini.

“Saya menangis kegembiraan sebaik sahaja memeluk anak saya hari ini.

“Hati ibu mana yang tidak gembira sekiranya dapat bertemu semula dengan anaknya setelah terpisah jauh beribu batu,” katanya.

Bagaimanapun pertemuan yang sepatutnya bermula pada pukul 1 petang (waktu Malaysia) hari ini tertangguh lebih dua jam apabila Fazal Azim lewat tiba di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, Pakistan.

“Saya gembira dapat menyusukan dan memberi anak saya makan Nestum hari ini.

“Saya semakin tidak sabar untuk membawa Arman Khan pulang semula ke Malaysia dan amat berharap perbicaraan pada minggu depan akan berpihak kepada saya.

“Dengan bantuan peguam dan sokongan daripada orang ramai, saya yakin akan dapat semula anak saya,” katanya yang bersyukur kerana ada pihak yang sudi menaja yuran guaman berjumlah RM6,000 bagi kesnya itu.

Sementara itu Pengerusi Biro Pengaduan Awam Pemuda UMNO, Datuk Subahan Kamal yang berjanji untuk menaja yuran guaman bagi kes Siti Nadzirah semalam, meminta Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, Pakistan mendahulukan pembayaran tersebut.

0 comments: