Khirul Bahri Basaruddin
SINGAPURA yang menamatkan hujah pusingan pertama semalam, menggunakan surat jawapan pemangku Setiausaha Kerajaan Johor kepada Setiausaha Penjajah Singapura pada 21 September 1953 konon negeri itu tidak menuntut hak terhadap Pulau Batu Puteh untuk menyokong kes republik itu.
Peguam Singapura, Prof Alain Pellet memberitahu panel 13 hakim tetap dan dua hakim ad hoc Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) semalam, dalam undang-undang surat itu adalah keterangan sukarela berhubung perisytiharan dan jaminan bahawa Johor tidak menuntut kedaulatan ke atas pulau itu.
Sehubungan itu, hujahnya, keputusan Kerajaan Johor itu mengikat penuh ke atas Malaysia sebagai pengganti Johor selepas negeri itu berada dalam Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.
Katanya, Setiausaha Penjajah Singapura, melalui Setiausaha Bahagian, Pejabat Setiausaha Penjajah, JD Higham menulis surat kepada Penasihat British di Johor dan salinan kepada Ketua Setiausaha Persekutuan Negeri-Negeri Melayu pada 12 Jun 1953.
Surat itu antara lain berbunyi "...maklumat mengenai sebiji batu kira-kira 40 batu dari Singapura, juga dikenali sebagai Pulau Batu Puteh di mana rumah Horsburgh ditempatkan ‘...’ ...mempunyai kaitan untuk menentukan sempadan wilayah perairan penjajah.”
Pellet berhujah bahawa kandungan surat yang salinannya dihantar kepada Ketua Setiausaha Persekutuan Negeri-Negeri Melayu secara jelas berhubung maklumat mengenai status Pulau Batu Puteh untuk penentuan sempadan wilayah perairan penjajah.
Dakwanya, pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, melalui surat bertarikh 21 September 1953 kepada Setiausaha Penjajah Singapura menyatakan negeri itu tidak menuntut pulau berkenaan. Sehubungan itu, hujahnya, surat itu mengesahkan status Pulau Batu Puteh dan sebaliknya.
Pengesahan surat itu tidak pernah dipersoalkan malah tidak pernah ditarik balik pada bila-bila masa. Jawapan yang diberikan oleh pemangku setiausaha kerajaan negeri itu menunjukkan ada persefahaman antara kerajaan Johor dan Singapura berhubung status Pulau Batu Puteh.
“Persefahaman itu tidak pernah dipersoalkan sehingga 26 tahun kemudian apabila Malaysia menerbitkan peta Wilayah Perairan dan Sempadanan Pelantar Laut pada 1979, menunjukkan Pulau Batu Puteh berada dalam wilayah Malaysia,” katanya.
Beliau mengemukakan hujah itu di depan Naib Presiden ICJ, Awn Shawkat Al-Khasawneh manakala persidangan semalam tanpa kehadiran Hakim Hisashi Owada.
Pasukan Malaysia diketuai Duta Tugas-Tugas Khas, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad yang bertindak sebagai Ejen, diikuti Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin sebagai Ejen Bersama, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail, Peguam Diraja, Prof Sir Elihu Lauterpacht, Prof James Crawford, Prof Nicolaas Jan Schrijver, Prof Mercelo G Kohen dan Penelope Nivell.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Singapura, Prof S Jayakumar, yang menggulung kes Singapura pusingan pertama semalam, memberitahu mahkamah bahawa tuntutan Malaysia terhadap kedaulatan Pulau Batu Puteh, Middle Rocks dan South Ledge adalah tindakan luar biasa.
Katanya, Malaysia gagal mengemukakan sebarang bukti kepada mahkamah bahawa negara itu pemilik asal pulau terbabit yang diisytiharkan berada dalam penjajah Britain pada 1847 hingga 1851, kemudian diserahkan kepada Singapura.
Jayakumar berkata, Singapura tetap dengan hujah bahawa pulau berkenaan tidak bertuan sehingga dimiliki British dan seterusnya menjadi milik negara itu sehingga kini.
“Sebaliknya, Malaysia yang menafikan pemilikan itu gagal mengemukakan sebarang dokumen membuktikan ia pemilik asal pulau itu malah pengakuan Kerajaan Johor tidak menuntut kedaulatan Pulau Batu Puteh memalukan negara itu sendiri.
“Oleh itu, Malaysia menggunakan peta 1980 yang menunjukkan Pulau Batu Puteh berada dalam wilayah negara itu untuk menafikan pengakuan yang dibuat sebelum ini oleh Johor,” katanya.
Malaysia akan membentangkan kesnya pada perbicaraan yang bersambung Selasa.
0 comments:
Post a Comment