KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memperkenalkan sistem kupon atau rebat untuk memastikan hanya kumpulan sasaran dan miskin menikmati subsidi, bukan golongan kaya atau industri.
Setiausaha Umno Bahagian Pokok Sena, Ramli Mohd Yunus, berkata cadangan itu perlu dilaksanakan segera bagi memastikan pengagihan lebih adil dan hanya rakyat yang benar-benar layak serta berhak menikmati keistimewaan itu.
“Sekarang memang jelas subsidi lebih memanfaatkan kepada mereka yang berkemampuan, berkereta dan berumah besar,” katanya mengulas cadangan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya sistem subsidi dirombak semula.
Khairy ketika membahaskan usul ekonomi dan pendidikan, menegaskan sistem subsidi sekarang bukan saja tidak adil kepada golongan miskin, malah pembaziran kerana turut dinikmati golongan kaya.
Ketua Umno Bahagian Lenggong, Datuk Saarani Mohamad, berkata rombakan sistem subsidi tidak seharusnya hanya terhad kepada petrol tetapi merangkumi barangan keperluan lain termasuk gas memasak.
“Hampir semua orang termasuk masyarakat luar bandar guna gas, terutama untuk memasak. Tetapi, orang berpendapatan rendah dan luar bandar hanya menggunakan sedikit sedangkan restoran, hotel dan perusahaan besar lain menggunakan gas dalam jumlah lebih banyak, sekali gus mereka mendapat manfaat subsidi lebih besar,” katanya.
Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Rompin, Mohd Isanudin Mohd Isa, berkata pada masa sama kerajaan perlu mewujudkan kaedah pemantauan supaya rebat atau kupon yang diberi kepada golongan berpendapatan rendah tidak disalah guna.
“Kita tidak mahu berlaku kejadian seperti salah guna subsidi diesel untuk nelayan. Jika ini tidak dibendung, tujuan subsidi untuk mengurangkan beban mereka yang memerlukan tidak tercapai sebaliknya menjadi satu pembaziran besar kepada negara,” katanya.
Ketua Wanita Umno Bahagian Gelang Patah, Zainab Othman, berkata sistem subsidi tidak memberi kesan kepada mereka yang memerlukan, sebaliknya ia mengekalkan jurang besar antara mereka yang kaya dan kurang berkemampuan.
0 comments:
Post a Comment