Oleh: ROZAMAN ISMAIL
KUALA LUMPUR 9 Nov. – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan parti itu akan terus memperjuangkan agenda Melayu supaya ketempangan bangsa Melayu terutama dalam bidang ekonomi dapat diperbetulkan.
Pada masa yang sama, Najib turut mengingatkan pihak-pihak lain ‘di luar sana’ jangan sesekali menafi atau mempertikaikan hak-hak orang Melayu.
‘‘Bila kita berlaku adil pada orang lain, bila kita tidak ambil hak orang lain, kita tidak nafikan hak kaum lain, jangan ada sesiapa nafikan hak orang Melayu.
‘‘Kita akan terus perjuangkan agenda Melayu supaya ketempangan bangsa Melayu dapat diperbetulkan,’’ katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.
Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, mereka yang cuba mempertikaikan perkara ini perlu mengenali siapa sebenarnya orang Melayu.
“Orang Melayu cakapnya beralas, sindirnya berasas, tegurnya tegas, tunduknya bukan tewas, beraninya tiada batas, kelihatan lembut tetapi keras.
“Puisi ini elok dijadikan ingatan, Melayu bangsanya sopan kerana agama jadi panduan, sanggup mati kerana kawan namun sabarnya ada sempadan,” tegasnya disambut tepukan dan sorakan gemuruh para perwakilan.
Menyentuh mengenai agenda Melayu dalam bidang ekonomi, Najib berkata, beliau telah diamanahkan oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk mempengerusikan sebuah jawatankuasa yang dinamakan Skim Jejak Jaya Bumiputera.
Skim itu, kata beliau, bertujuan menambahkan lagi bilangan syarikat bumiputera yang boleh disenaraikan di Bursa Malaysia sama ada di papan utama, papan kedua atau MESDAQ.
Menurutnya, jawatankuasa itu yang turut dianggotai oleh Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohd. Yakcop serta perwakilan daripada Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) akan mengenal pasti syarikat-syarikat bumiputera yang sudah menunjukkan trek rekod yang baik dan mempunyai potensi untuk disenaraikan tetapi memerlukan sedikit bantuan kerajaan.
“Saya bagi jaminan kriteria yang kita gunakan pemilihannya bukan sama ada kita mengenali siapa dia pemilik syarikat itu tetapi kemampuan mereka yang mengendalikan syarikatnya,” tambah beliau lagi.
“Bukanlah know who tetapi know how, kalau dulu barangkali banyak know who tetapi sekarang kita nak know how. Kita akan bantu sehingga mereka boleh bertahan menjadi syarikat besar dan berjaya,” tegasnya.
“Matlamat kita untuk kenal pasti mulai tahun depan antara lima hingga 10 buah syarikat dan apabila perkara ini berlaku banyak lagi syarikat bumiputera boleh disenaraikan,’’ katanya lagi.
Menurut Najib, orang Melayu perlu memiliki pemilikan ekuiti sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2020 berbanding sekarang 18.9 peratus.
“Salah satu kriteria bagi membolehkan Melayu menjadi kaum yang maju, pemilikan kita mesti tidak kurang daripada 30 peratus.
“Oleh itu dalam masa baki 13 tahun ini, kita kena pastikan ekuiti bumiputera mesti berkembang melebihi perkembangan pasaran yakni kalau pasaran berkembang pada kadar 11 peratus ekuiti bumiputera mesti berkembang pada kadar 13 peratus, barulah ia dapat dicapai,” katanya.
0 comments:
Post a Comment