Puteri bantu jayakan tubuh universiti apex

PUTERI Umno yang memperjuangkan kelangsungan pendidikan anak Melayu dan keperluan meningkatkan keupayaan intelek generasi muda sedia menawarkan kepakaran wanita muda dalam pergerakan itu untuk membantu menjayakan penubuhan universiti apex.

Ketua Puteri Umno, Datuk Noraini Ahmad, berkata penubuhan universiti apex mesti dilakukan dengan serius kerana ia memerlukan bukan saja kakitangan dan tenaga pensyarah cemerlang, malah graduan yang terbilang bagi mencapai matlamat melahirkan gagasan universiti terunggul.

"Generasi wanita muda sanggup menyahut cabaran ini dan di kalangan ahli Puteri ada ramai yang boleh menjayakan secara langsung penubuhan universiti apex," katanya disambut tepukan daripada perwakilan ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno.

Noraini berkata, Puteri yang memperjuangkan pendidikan awal dan kebajikan masyarakat sejak ditubuhkan bersedia untuk membantu menjayakan program Pusat Anak Permata Negara (Permata) dalam usaha melahirkan generasi muda berkualiti yang mewarisi kepemimpinan negara pada masa depan.

“Kami amat berterima kasih kerana diberi peluang membantu menjayakan program Permata yang memberi penekanan kepada dasar asuhan dan didikan awal kanak-kanak secara langsung. Kami percaya anak kecil adalah pemimpin masa depan,” katanya.

Beliau juga menangkis tanggapan sesetengah pihak bahawa sayap Puteri belum matang serta mampu menyerap minat generasi muda menganggotai pergerakan itu.

Sebaliknya, beliau berkata, Puteri berjaya membuktikan walaupun sayap itu baru berusia enam tahun, pergerakan itu sudah membuktikan kemampuannya dengan mengumpul 417,538 ahli Puteri.

“Dalam masa enam tahun, jumlah ahli kami sudah menyamai dengan ahli Parti Progresif Penduduk (PPP). Mereka (PPP) sebuah parti, tapi kita (Puteri) hanya satu pergerakan yang sudah mampu mengumpul ahli sama banyak dengan mereka. Jadi, tak payahlah mereka (PPP) nak bising,” katanya.

Beliau juga menzahirkan sokongan padu kepada Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan bertekad untuk mengukuhkan perpaduan nasional seperti yang disarankan Abdullah dalam ucapannya dasarnya.

"Puteri juga berjanji akan bekerja keras membantu parti dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang, sekali gus memastikan kemenangan besar Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Noraini juga berjanji Puteri Umno yang terdiri daripada wanita muda Melayu akan berjuang untuk parti dan negara dalam mencapai kecemerlangan untuk 50 tahun akan datang.

0 comments: