Unitar milik penuh Umno, distruktur bantu Melayu

TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) kini dimiliki sepenuhnya Umno dan akan melalui proses penstrukturan semula untuk membantu orang Melayu dalam bidang keusahawanan.

Timbalan Perdana Menteri berkata, penyusunan semula universiti itu mulai tahun depan mengkhususkan kepada program keusahawan dan kepemimpinan pengurusan syarikat bagi menangani kelemahan bangsa Melayu yang kurang berkemampuan dalam bidang keusahawanan.

Beliau berkata, lembaga pengarah yang dipengerusikannya turut disertai Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin; Bendahari, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Kita berusaha supaya sesuatu kelemahan bangsa Melayu iaitu kurang kemampuan keusahawanan itu dijadikan sebagai pengkhususan Unitar yang disusun semula,” katanya ketika menggulung perbahasan.

Mengenai program Pusat Anak Permata Negara (Permata), Najib berkata, 12 lagi pusat itu akan ditubuhkan supaya semua pihak dapat memberi tumpuan kepada pendidikan awal kanak-kanak kerana generasi seawal usia prasekolah adalah penentu nasib bangsa Melayu menjelang 2057.

“Kajian Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terhadap Permata mendapati kanak-kanak yang mengikuti program ini mempunyai keupayaan mindanya, kebolehan bertutur dan berinteraksi, keyakinan diri, disiplin semuanya jauh lebih baik.

“Jika hendak bangsa Melayu yang terbilang buat pada hari ini... inilah pelaburan besar... bukan rumah, kereta besar, bukan kenduri besar, tetapi melaburlah dalam pendidikan anak kita kerana itulah yang paling berharga untuk masa depan bangsa dan negara,” katanya.

0 comments: