Melaka, NS tidak ditinggalkan

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan Melaka dan Negeri Sembilan tidak ditinggalkan dari segi pembangunan, bahkan akan diberi peruntukan yang besar.

Perdana Menteri berkata, walaupun ketika ini tidak ada wilayah pembangunan koridor tengah membabitkan kedua- dua negeri itu, Kerajaan Pusat akan memastikan limpahan pesat pembangunan di Lembah Klang turut dinikmati oleh rakyat di negeri tersebut.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat telah mengenal pasti beberapa projek berimpak tinggi untuk dilaksanakan di kedua- dua negeri tersebut.

Sehubungan itu, beliau meminta Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak bimbang kemungkinan negeri mereka akan dilupakan.

‘‘Kita tidak akan lupa pada Negeri Sembilan dan Melaka,’’ katanya dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Cadangan supaya satu koridor pembangunan wilayah tengah diwujudkan telah dibangkitkan oleh perwakilan dan ia mendapat perhatian Presiden UMNO dengan mencatatkan perkara itu dalam buku catatannya.

‘‘Dalam dunia globalisasi ini, kita menghadapi pelbagai saingan. Saingan dari negara jiran dalam ASEAN seperti Vietnam yang baru muncul dengan begitu hebat.

‘‘Di samping itu, kita juga memahami bahawa negara China dan India, ekonominya sedang berkembang dengan pesat dan mendapat pelaburan langsung asing (FDI) lebih tinggi,’’ katanya.

Sementara itu, pada sidang akhbar lewat petang ini, Abdullah memberitahu panel khas baru sahaja menyerahkan laporan mengenai siasatan klip video memaparkan perbualan telefon seorang peguam dikatakan dengan seorang hakim.

‘‘Kita akan baca apa yang terkandung dalam laporan itu dan jika ia berkaitan dengan kepentingan awam, kita akan dedahkan kepada umum,’’ katanya.

Ditanya peluang Malaysia dalam perbicaraan tuntutan bertindih dengan Singapura ke atas Pulau Batu Putih yang sedang berlangsung di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, Perdana Menteri enggan mengulas mengenainya.

‘‘Saya tak mahu cakap apa peluang kita. (Pasukan) Malaysia ada di sana dan begitu juga Singapura, biarlah mereka yang berhujah di mahkamah. Kita terima apa keputusan mahkamah,’’ katanya.

0 comments: