‘Kami sudah sedia hadapi pilihan raya’

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Para perwakilan UMNO yang berkumpul selama lima hari pada Perhimpunan Agung UMNO 2007 yang berakhir petang ini berazam menyampaikan mesej dan amanat Presiden parti kepada rakyat di kawasan masing-masing dan bersedia menghadapi pilihan raya umum.

Mereka menyifatkan ahli-ahli UMNO telah mendapat gambaran tepat tentang isu-isu semasa termasuk isu subsidi dan keperluan kestabilan negara dikekalkan.

Para perwakilan itu yakin rakyat tidak akan terpedaya dengan dakyah yang dilemparkan oleh pihak tertentu terhadap kerajaan.

Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Abd. Aziz Md. Shafie berkata, beliau lega dengan ketegasan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung keperluan syarikat milik kerajaan (GLC) memainkan peranan yang lebih besar dalam memperjuangkan agenda Melayu.

‘‘Teguran kepada GLC itu diharap dapat melahirkan usahawan-usahawan bumiputera yang berdaya saing.

‘‘Selain itu, Presiden UMNO juga bersikap adil dengan menekankan kepentingan perkongsian kuasa orang Melayu dengan kaum-kaum lain,’’ katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Agung UMNO 2007 berakhir di sini hari ini.

Dalam pada itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, UMNO mempunyai iltizam yang tinggi bagi meneruskan perjuangan agenda Melayu menerusi pencapaian mereka dalam segala bidang.

‘‘Datuk Seri Abdullah kelihatan tegas dan berani meluahkan isi hati secara terbuka apabila ada pihak lain yang cuba mempersoalkan agenda Melayu, menggugat perpaduan rakyat Malaysia dan kedaulatan undang-undang.

‘‘Ini jarang berlaku dalam ucapan penggulungannya semasa perhimpunan agung yang lepas,’’ kata Saifuddin.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Azhar Ibrahim pula berkata, penstrukturan semula semua subsidi termasuk minyak yang dibangkitkan oleh Abdullah bertepatan dengan usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan.

Katanya, ia juga dapat memastikan bantuan subsidi itu benar-benar sampai kepada golongan sasaran yang memerlukan.

‘‘Kenyataan Pak Lah mengenai penstrukturan subsidi memang dinanti-nantikan dan ini disambut baik oleh semua,’’ katanya.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Wanita UMNO Sabah, Jainab Ahmad berkata, mekanisme dan sistem pelaksanaan pengagihan subsidi yang dikhususkan kepada golongan tertentu perlu diperhalusi.

Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan terhadap dasar kerajaan itu nanti.

Ketua UMNO Bahagian Larut, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, peringatan Abdullah terhadap pihak yang cuba menimbulkan kekacauan dengan mengadakan perhimpunan haram perlu dipandang serius oleh semua pihak.

‘‘Golongan yang mahu mengadakan perhimpunan jalanan itu sepatutnya menunggu masa pilihan raya jika tidak berpuas hati dan bukannya melalui keganasan,’’ katanya.

Perwakilan dari Pulau Pinang, Shabudin Yahaya pula memberitahu, soal kontrak sosial yang dibangkitkan oleh Abdullah perlu dihayati oleh generasi muda termasuk bukan Melayu.

‘‘Ia sepatutnya dihormati, diraikan malah diperkukuhkan lagi sebagai tunjang kepada pembangunan negara dan bukan untuk dipertikaikan,’’ katanya.

0 comments: