Ketrampilan Jeanne dipuji

“BELIAU sangat cantik dan mesra... tidak sombong. Memang sesuai sangatlah jadi ‘first lady’ (Wanita Pertama) Malaysia,” kata Nor Sazawani Salim dengan nada teruja apabila ditanya pendapatnya mengenai isteri Presiden Umno, Jeanne Abdullah.

Pembantu pereka Permint Suterasemai Sdn Bhd terkejut dengan kedatangan Jeanne ke gerai mereka dan membeli batik tenun Terengganu berharga RM380.

Gambaran sama turut dikongsi rakannya yang dikenali sebagai Nurul, namun beliau sudah pernah berjumpa dengan Jeanne sebelum ini di Terengganu.

“Selalunya, isteri Perdana Menteri suka membeli kain berwarna pastel (lembut) dan rekaan yang agak ringkas,” katanya apabila ditanya mengenai corak kain yang disukai Jeanne.

Sementara itu, Jeanne meluangkan masa kira-kira sejam membeli-belah di gerai sekitar pekarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ketika perhimpunan berhenti rehat untuk solat Jumaat.

“Saya seronok membeli beberapa barang keperluan, termasuk kain sutera di sini kerana harganya berpatutan. Saya harap tahun depan mereka menjual barang lain yang lebih baik dari tahun ini,” katanya dengan nada ceria.

0 comments: