Formula tidak bebankan rakyat

KUALA LUMPUR 9 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan menggunakan formula yang tidak membebankan rakyat dan pada masa yang sama tidak memudaratkan ekonomi negara dalam mengkaji isu pemberian subsidi termasuk subsidi minyak.

Beliau berkata, formula tersebut merupakan penyelesaian paling tepat kerana ia tidak menyusahkan rakyat selain membolehkan ekonomi negara terus berkembang.

‘‘Kita tidak mahu menjadi parti yang ditolak oleh rakyat. Oleh itu dalam kita kaji semula sistem subsidi ini, kita akan gunakan formula yang tidak bebankan atau susahkan rakyat tetapi ekonomi negara tidak mudarat.

‘‘Inilah pilihan yang akan kita laksanakan,’’ katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Najib yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, kerajaan terpaksa membelanjakan kira-kira RM35 bilion untuk subsidi petrol dan gas ketika harga minyak mentah dunia hampir mencecah AS$100 dolar setong manakala RM5 bilion lagi untuk subsidi lain.

Katanya, fenomena itu tidak pernah berlaku di negara-negara lain.

‘‘Tidak ada negara di dunia ini yang sediakan subsidi untuk rakyat yang begini besar sebagaimana yang kita lakukan.

‘‘Peruntukan tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk menambah peruntukan bagi tujuan pembangunan negara,’’ katanya.

Beliau juga berkata, subsidi sebanyak RM40 bilion setahun berjumlah RM200 bilion dalam tempoh lima tahun dan angka itu menyamai keseluruhan peruntukan pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Menurut beliau, secara teorinya jika RM40 bilion itu dijadikan sebagai sumbangan kepada peruntukan pembangunan, rancangan pembangunan negara akan mempunyai peruntukan sebanyak RM80 bilion setahun dan bukannya RM40 bilion sebagaimana sekarang.

‘‘Kalau kita boleh belanjakan RM80 bilion setahun, kita boleh dapat kadar pertumbuhan antara sembilan hingga 10 peratus setahun.

‘‘Inilah yang saya katakan unik, peruntukan untuk pembangunan RM40 bilion dan peruntukan untuk subsidi RM40 bilion iaitu nisbah 1:1.

‘‘Tidak ada negara di dunia ini yang sediakan subsidi untuk rakyat yang begini besar sebagaimana dilakukan oleh kita,’’ katanya.

Mengenai persediaan UMNO menghadapi pilihan raya umum ke-12, Najib berkata, kelicinan dan persiapan jentera pilihan raya parti telah terbukti dengan kemenangan dalam pilihan raya kecil di Batu Talam, Machap dan Ijok pada tahun ini.

“Sasaran kita (Barisan Nasional) adalah untuk memenangi lebih daripada dua pertiga kerusi yang dipertandingkan pada pilihan raya yang akan datang dan menguasai kesemua negeri termasuk Kelantan,” katanya.

Mengenai pemilihan calon, Timbalan Presiden UMNO berkata, ia terletak kepada pucuk pimpinan tetapi menasihatkan mereka yang tidak terpilih supaya menerimanya dengan baik.

0 comments: