TEGUH BERSAMA: Najib bersalam dengan Abdullah selepas menggulung perbahasan, semalam. |
DATUK Seri Najib Razak yang mewakili kepemimpinan Umno Pusat dan negeri, berikrar berdiri teguh di belakang Presiden parti dan akan bekerja keras untuk cemerlang pada pilihan raya umum akan datang bagi merealisasikan gagasan serta inisiatif yang diperkenalkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Timbalan Presiden parti itu juga memberi jaminan akan terus memberi sokongan padu kepada Perdana Menteri sama ada pada waktu senang dan susah.
Beliau berkata, pelbagai cabaran pernah dihadapi negara, termasuk kemelut politik dan krisis ekonomi, tetapi penyatuan dalam parti membolehkan cabaran itu ditempuhi dan ditangani dengan jayanya.
"Parti ini sememangnya diperakui sudah bersiap sedia dan hanya menunggu isyarat Presiden untuk mengumumkan tarikh pilihan raya, terutama selepas cemerlang di Batu Talam, Machap dan Ijok. Sasaran kita... nak menang di setiap negeri, juga di Kelantan," katanya ketika menggulung perbahasan.
Timbalan Perdana Menteri juga berkata, persefahaman dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) penting untuk memastikan hasrat mencapai kejayaan dan kecemerlangan menjadi kenyataan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pemimpin Umno supaya tidak berbalah kerana terlalu ghairah untuk menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.
"Sebarang keputusan mengenai calon diserahkan kepada Presiden parti, relalah dengan ketentuan yang ditetapkan takdir dan ada hikmah di sebaliknya.
"Kita individu hebat jika kita ada dalam parti yang hebat, oleh itu jangan berbalah," katanya.
Malah, beliau mengingatkan semua pemimpin parti supaya meraikan sokongan rakyat selama ini dengan melakukan sesuatu yang disukai rakyat, bukan sebaliknya.
"Jika rumah uzur kita baiki lantainya, kita tukar bumbungnya, jika anak mereka ramai dan miskin, kita menjadi perantara untuk dapatkan segala bantuan yang ada," katanya.
Beliau juga memetik pesanan Presiden parti yang pertama, Datuk Onn Jaafar yang sepatutnya menjadi iktibar iaitu: "Melayu hanya selamat bila kuat dan kuat apabila bersatu padu."
PANTUN NAJIB
Kuat usaha hidup senang,
Bila kaya menabur jasa,
Pilihan raya menang cemerlang,
Untuk mengangkasa tamadun bangsa.
Bila kaya menabur jasa,
Fakir dibela miskin dibantu,
Untuk mengangkasa tamadun bangsa,
Yakin meneroka era baru.
Fakir dibela miskin dibantu,
Untuk moden mereka ditolong,
Yakin meneroka era baru,
Kepemimpinan Presiden mantap disokong.
0 comments:
Post a Comment