Keputusan Matematik, Sains guna BM akhir 2008

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada pengajaran dan pembelajaran subjek Sains dan Matematik di sekolah kembali diajar dalam bahasa Malaysia akan ditentukan pada akhir tahun depan, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno, berkata ini bagi membolehkan pelajar yang sudah mempelajari kedua-dua mata pelajaran itu dalam bahasa Inggeris, menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun depan.

“Mereka setuju tak perlu tunggu sehingga 2010 (tempoh berakhir pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan)... umum lebih awal pada hujung tahun depan,” katanya ketika menggulung perbahasan mengenai isu pendidikan yang dibangkitkan pada Perhimpunan Agung Umno 2007.


Beliau berkata, tempoh itu juga bagi membolehkan kementerian berkenaan memantapkan subjek Bahasa Inggeris dengan memantapkan teknik pengajaran, melatih guru dalam pengajaran Bahasa Inggeris dan memastikan bekalan buku serta peralatan mencukupi.

Kelmarin, beberapa perwakilan mahu kerajaan mengembalikan semula penggunaan bahasa Malaysia bagi menggantikan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), yang dilaksanakan sejak 2003, sekiranya ia gagal mencapai matlamat.

Mengenai program Jawi, al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (J-Qaf) yang dibangkitkan perwakilan, beliau berkata, program itu yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sudah dilaksanakan di 3,703 sekolah dan membabitkan 10,985 guru serta memberi manfaat kepada 644,419 murid. Program J-Qaf dilaksana sejak 2000.



Hishammuddin berkata, Kementerian Pelajaran juga menawarkan sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri untuk bernaung di bawah kementerian terbabit bagi mendapatkan bantuan yang diperoleh sekolah agama bantuan kerajaan.

Katanya, kerajaan membelanjakan RM147.5 juta untuk menaik taraf sekolah terbabit sebagai sekolah agama bantuan penuh dan memberi manfaat kepada 35,722 murid.

Mengenai Pemuda Umno, Hishammuddin berkata, keris “Panca Warisan” yang dipolemikkan oleh pihak pembangkang, akan terus menjadi lambang perjuangan pergerakan itu.

“Berteduhlah semua di bawah perlindungan keris Melayu yang berdaulat,” katanya sambil menegaskan orang Melayu tidak menuntut apa yang bukan menjadi hak kaum itu.

Sementara itu, pada pembukaan penggulungannya, Hishammuddin sempat berjenaka mengenai hidungnya.

"Sampai hati hidung saya dijadikan isu. Tiga hari saya lari daripada mereka yang nak derma hidung kerana katanya boleh menyelamatkan dua orang. Ini belum tengok anunya lagi," katanya.

Pemangku Pengerusi Tetap Umno, Datuk Badruddin Amiruldin terus mencelah dengan berkata: "Organ itu kena bubuh dalam peti ais, jangan bagi kucing nampak."

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pergerakan berkenaan juga sudah bersiap sedia untuk bekerja keras pada bila-bila masa sebaik Perdana Menteri mengumumkan tarikh pilihan raya.

"Kita bersedia menggempur (kubu kuat pembangkang) sekiranya Perdana Menteri mengumumkan pilihan raya umum dan ikrar Pemuda Umno tetap berada di barisan depan," katanya.

0 comments: