Khairy turut derma organ

NAIB Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin semalam mengikut jejak ibu mentuanya, Datin Seri Jeanne Abdullah apabila mendaftar sebagai penderma organ.

“Saya menderma organ sebab ini satu kerja yang baik. Jika ada apa-apa keperluan dan kita ditakdirkan terbabit dalam kemalangan atau keadaan di mana kita boleh menderma organ untuk membantu mana-mana pihak memerlukan.

“Saya berasa ini perkara baik dan tidak bertentangan dengan agama dan boleh bantu orang,” katanya di bilik promosi dan kesihatan Dewan Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Khairy berkata, banyak kes pesakit yang tercari-cari organ untuk dibuat pemindahan dengan sebahagiannya tidak berjaya mendapat organ yang diperlukan kerana jumlahnya kurang.

Oleh itu, katanya, Pemuda Umno menggalakkan lebih ramai generasi muda menjadi penderma organ supaya dapat membantu pesakit yang memerlukan.

“Kita boleh menderma macam-macam seperti kulit dan hati. Saya pula derma semua organ,” katanya sambil mengharapkan golongan muda agar mempunyai kesedaran secara sukarela menderma organ.

0 comments: