Agihan subsidi lebih adil



DEMI MARUAH: Abdullah bersemangat ketika menggulung perbahasan Perhimpunan Agung Umno 2007 di Dewan Merdeka PWTC, semalam.

Kerajaan struktur semula skim, rakyat miskin sasaran utama: PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melakukan penstrukturan semula sistem subsidi melalui konsep pengagihan lebih adil yang mensasarkan rakyat berpendapatan rendah sebagai penerima utama bantuan itu, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri menegaskan, walaupun sukar untuk mengekalkan subsidi ekoran harga minyak dunia yang terus meningkat sekarang, kerajaan akan meneruskan skim bantuan itu tetapi ia perlu disasarkan kepada kumpulan rakyat yang benar-benar memerlukan.


"Kita tahu bahawa kita tidak boleh menafikan subsidi langsung. Yang penting subsidi harus disasarkan kepada yang benar-benar memerlukan, kaum yang berpendapatan rendah, itu saja. Yang lain mampu bayar, tinggi sikit harga pun, naik sikit pun boleh bayar, naik lagi pun boleh bayar, bukan tak boleh," katanya.

Beliau yang juga Presiden Umno berkata demikian sewaktu menggulung perbahasan di perhimpunan agung parti itu di sini, semalam.

Kelmarin, Pergerakan Pemuda Umno mencadangkan kerajaan merombak sistem subsidi bagi memastikan pengagihan lebih adil dan hanya rakyat yang benar-benar layak serta berhak, menikmati keistimewaan itu, bukannya golongan kaya.

Ketika membahaskan usul Ekonomi dan Pendidikan, Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata sistem subsidi yang diamalkan sekarang bukan saja tidak adil kepada golongan miskin, malah satu pembaziran kerana turut dinikmati golongan kaya.

Abdullah bagaimanapun berkata, kerajaan tidak mampu menafikan atau memansuhkan terus sistem subsidi tetapi skim itu nanti tidak lagi

seperti sekarang. Jika sistem subsidi dihapuskan terus, ia akan membebankan rakyat berpendapatan rendah.

"Orang kata ini 'time bomb', bom mati, berani mati kerana bunuh sendiri. Ini bodoh, ini tak boleh berlaku. Kita tidak boleh menafikan subsidi langsung," katanya.

Beliau berkata, jika bantuan subsidi dapat dikurangkan, peruntukan itu boleh digunakan untuk tujuan pembangunan.

Kerajaan menanggung subsidi kira-kira RM35 bilion bagi minyak dan gas tahun ini, manakala RM5 bilion untuk subsidi lain.

"Jumlah RM40 bilion sama dengan peruntukan pembangunan. Kalaulah subsidi dikurangkan, tentu kita ada banyak wang untuk digunakan bagi membangunkan negara kita ini. Jadi pendekatan ini akan kita gunakan," katanya.

Abdullah memberi contoh bagaimana ketidakadilan berlaku apabila golongan kaya dan miskin masing-masing membayar kadar harga sama bagi membeli petrol.

"Tapi kalau kita samakan (kadar bantuan subsidi) seperti yang saya cakap dalam taklimat (taklimat tertutup Presiden), harga petrol, yang kaya miskin sama (bayar harga sama), macam-macam yang sama, ini tidak adil," katanya.

Perdana Menteri berkata, kaedah penstrukturan semula sistem subsidi akan dikaji terperinci bagi memastikan keadilan kepada penerima berhak.

"Jadi kita akan menstruktur dengan satu cara supaya subsidi yang diberikan kepada golongan memerlukan pada tahap yang kita fikir sesuai untuk mereka. Ini pendekatan yang kita akan ambil pada masa depan. Kita sedang mengkaji, melihat apa yang perlu kita lakukan," katanya.

Pada sidang media selepas itu, Abdullah menjelaskan, mekanisme penstrukturan semula sistem subsidi perlu diperhalusi dan diperincikan sebaik mungkin sebelum ia dapat dilaksanakan.

"Secara asasnya saya katakan yang penting nanti kita nak supaya subsidi diberikan kepada golongan yang berpendapatan rendah yang memerlukan subsidi.

"Macam tarif TNB, mereka yang berpendapatan rendah harganya dikenakan lebih rendah sedangkan untuk petrol dan gas semua sama... ini satu idea dan kita perlu kaji dengan teliti," katanya.

Ditanya kemungkinan penstrukturan semula sistem subsidi nanti menimbulkan rasa tidak puas hati golongan yang menikmatinya selama ini, beliau berkata mesti ada orang yang tidak puas hati terhadap setiap apa yang kerajaan lakukan.

"Tidak semua orang puas hati dengan apa yang kita lakukan. Tapi kita perlu lakukan apa yang wajar dilakukan," katanya.

0 comments: