KUALA LUMPUR 9 Nov. – Kajian menyeluruh mengenai pelaksanaan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) akan diumumkan hujung tahun depan dan bukannya pada tahun 2010.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu dibuat setelah beliau berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO berkata, langkah tersebut selaras dengan gesaan serta kehendak para perwakilan yang mahukan keputusan mengenai pelaksanaannya diumumkan secepat mungkin.
“Kebetulan pada tahun depan pelajar tahun satu yang mula-mula mengikuti program PPSMI akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Oleh itu, hujung tahun depan adalah masa paling sesuai untuk kita buat pengumuman.
“Langkah ini adalah sejajar dengan kehendak perwakilan yang secara tidak langsung merupakan wakil daripada peringkat akar umbi,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO 2007 di sini hari ini.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam sidang akhbar di akhir Perhimpunan Agung UMNO ke-58 hari ini, berkata, kerajaan akan menghalusi cadangan supaya pengajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dikembalikan ke bahasa Melayu.
Beliau bagaimanapun meminta media supaya berpegang kepada kenyataan Hishammuddin Tun Hussein berhubung isu tersebut.
Semalam, wakil Badan Perhubungan UMNO Johor, Senator Dr. Mohd. Puad Zarkashi mahu kerajaan mengembalikan semula pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu.
Sebelum ini, Hishammuddin pernah membuat kenyataan bahawa penggunaan sepenuhnya bahasa Inggeris bagi subjek Matematik dan Sains dalam UPSR, Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sepatutnya dilaksanakan tahun depan, ditangguhkan.
Katanya, kementerian memerlukan antara dua hingga tiga tahun lagi untuk mengkaji pelaksanaan dasar tersebut dan sehingga itu, pelajar boleh memilih menjawab soalan sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris.
Beliau berharap dengan keputusan yang dibuat itu akan mengurangkan keresahan di kalangan rakyat khususnya golongan ibu bapa.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, langkah kementerian memperkenalkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang bermula tahun lalu hingga 2010 adalah merupakan satu usaha mengukuhkan asas pendidikan di kalangan pelajar di negara ini.
Beliau berkata, melalui pelan itu pihak kementerian akan memberi fokus kepada usaha-usaha meningkatkan tahap keyakinan, kreativiti, kemahiran berfikir, daya kepimpinan di kalangan pelajar tanpa seorang pun yang terpinggir.
“Melalui PIPP kita juga akan menjadikan golongan guru sebagai pemangkin kepada kemajuan bidang pendidikan dengan mempelbagaikan kemahiran yang ada pada mereka.
“Saya yakin selepas berakhirnya PIPP pada tahun 2010 gerakan transformasi secara besar-besaran terhadap bidang pendidikan akan dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.
Selain itu beliau berkata, langkah memartabatkan sekolah agama termasuk sekolah agama rakyat dan sekolah agama negeri akan terus menjadi salah satu agenda utama kementerian.
“Kita mahu menjadikan sekolah-sekolah agama di negara kita satu hari nanti sebaris dengan sekolah-sekolah terbaik di dunia.
“Begitu juga dengan pelaksanaan program Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain (j-Qaf) yang sebelum ini telah dicetuskan oleh Perdana Menteri. Ia juga akan terus dimantap dan diperluaskan.
“Sekiranya saya masih memegang jawatan Menteri Pelajaran saya akan berusaha meluaskannya sehingga ke sekolah menengah,” tambahnya.
0 comments:
Post a Comment