Oleh Sazarina Shahrim
Tee Hui Yee |
KUALA LUMPUR: Penantian lebih setahun Tee Hui Yi, 14, berakhir semalam apabila beliau selamat menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) selepas menerima jantung seorang remaja Melayu yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Ipoh, kelmarin.
Remaja berusia 15 tahun yang identitinya dirahsiakan, turut mengakhiri penderitaan seorang lagi penghidap penyakit 'idiopathic pulmonary fibrosis' berusia 39 tahun apabila menerima paru-parunya.
Kedua-dua penerima organ itu menjalani pembedahan lebih sepuluh jam di IJN, bermula jam 10.45 malam kelmarin. Pembedahan itu diketuai Ketua Pakar Bedah Kardiotorasik, Datuk Dr Mohd Azhari Yakub dan Pengarah Klinikal Pemindahan Jantung dan Paru-Paru, Dr Mohd Ezani Md Taib.
IJN dalam satu kenyataan berkata, pembedahan itu membabitkan enam pakar bedah kardiotorasik, enam pakar bius, seorang doktor dari Institut Penyelidikan Respiratori dan 30 paramedik.
Kedua-dua penerima organ berkenaan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) IJN dan masih dalam keadaan kritikal.
Menurut kenyataan itu, Tee yang mengalami pelbagai masalah jangkitan dan nutrisi badan semakin berkurangan, kini menggunakan mesin sokongan bagi membolehkan jantung barunya stabil.
"Pembedahan berjalan lancar walaupun kesihatan Tee agak terjejas berikutan terlalu lama menanti jantung baru. Pembedahan itu agak berisiko kerana Tee bergantung kepada jantung mekanikal sejak setahun lalu.
"Kerana terlalu lama menunggu penderma organ, Tee semakin kurus, selera makannya berkurang dan tahap kesihatannya juga terjejas yang menyebabkan pembedahan itu sedikit berisiko," katanya kepada pemberita di IJN.
Dr Chua sebelum itu menghadiri majlis taklimat mengenai pembedahan berkenaan oleh Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Razif Mohd Yunus dan Pengarah Perubatan, Datuk Seri Dr Robayah Zambahari.
Malam kelmarin, 13 pegawai dan jururawat IJN diterbangkan ke Hospital Ipoh oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk membuat pembedahan organ penderma itu.
Tee yang disahkan mengalami masalah jantung kritikal, menjadi penerima jantung mekanikal kedua pada 29 September 2006 selepas Mohd Fikri Nor Azmi, 16, yang menjalani pemindahan organ pada 16 Disember 2005.
Sejak itu, Tee membuat rayuan untuk mendapatkan jantung baru sebelum jantung mekanikalnya berhenti berfungsi September tahun depan.
Dr Chua berkata, identiti penderma organ itu dirahsiakan atas permintaan keluarga waris. Selain jantung dan paru-paru, remaja itu turut menderma buah pinggang dan hati.
"Ini adalah contoh terbaik di mana keluarga penderma mempunyai hasrat murni menyelamatkan nyawa orang lain. Saya berharap lebih ramai rakyat sedar jika tiada penderma, ramai pesakit yang menunggu organ akan mati," katanya.
Dr Chua kesal kerana walaupun banyak kemalangan maut setiap tahun, jumlah organ yang diselamatkan untuk didermakan terlalu sedikit berikutan bantahan keluarga yang enggan mendermakan organ mangsa.
Beliau berkata, negara memerlukan kira-kira 1,200 buah pinggang, 450 jantung, 200 hati dan 700 kornea setiap tahun untuk menyelamatkan nyawa pesakit.
"Saya sangat berterima kasih kepada media yang memberi publisiti meluas mengenai Tee kerana secara tidak langsung ia mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai betapa pentingnya pendermaan organ," katanya.
Kementerian itu akan meningkatkan lagi kempen kesedaran terhadap pendermaan organ, terutama dalam meyakinkan ahli keluarga atau waris yang kebanyakannya membantah pendermaan organ.
"Kita mempunyai ramai yang berikrar untuk mendermakan organ mereka, tetapi bila mereka meninggal dunia, anggota keluarga mereka tidak bersetuju," katanya.
Sehingga Jun lalu, 108,000 berikrar untuk mendermakan organ, tetapi tahun lalu hanya 25 orang yang benar-benar menderma kerana kebanyakannya mendapat bantahan keluarga.
0 comments:
Post a Comment